Thursday 23 February 2012

Cara berfikir orang-orang yang berjaya

Berfikir ialah pelita hidup. Cahaya fikir itu bukan saja menembusi alam nyata, tapi juga alam maya. Malah cahaya fikir itu akan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat. Orang yang berfikir sebelum bertindak membawa banyak keuntungan material dan juga spiritual.

Buku karya John C. Maxwell (2011), “How Successful People Think” (terjemahan Bahasa Melayu), PTS Professional Publishing Sdn Bhd, setebal 100 halaman telah memberi saya inpirasi untuk menulis artikel ini. Ini kerana keupayaan Malaysia menjadi Negara Maju menjelang tahun 2020 bukan hanya berasaskan pembangunan fizikal, tetapi yang sangat penting ialah pembangunan insaniah rakyat Malaysia. Jika tidak segala apa yang dibangun akan hancur berkecai oleh tangan-tangan manusia yang sifat insaniahnya kerdil.

Beliau telah menggariskan persoalan-persoalan seperti berfikir secara “big picture”, fokus, kreatif, realistik, strategik, “possibility thinking”, reflektif atau introspeksi diri, mempersoalkan pemikiran popular, “shared thinking”, mengamalkan “unselfish thinking”, bergantung harap pada “bottom-line thinking”.

Pemikir yang berjaya melihat secara “big picture”, iaitu melihat sesuatu secara menyeluruh agar semua aspek, biar pun kecil mesti diambil perhatian. Ini akan memberikan suatu keadilan kepada persoalan yang difikirkan. Biasanya pemikir akan menyatakan ideanya melalui carter besar seperti kaedah “mind mapping” untuk menggambarkan idea keseluruhan.

Orang yang berjaya juga menggunakan “possibility thinking”, iaitu dengan melihat seluruh kemungkinan yang ada yang mungkin berlaku, beliau menilai segala risiko yang timbul akibat daripada sesuatu perbuatan atau tindakan dan berfikir secara mendalam bagaimana setiap kemungkinan itu akan memberi impak kepada keseluruhan fikiran atau tindakan.

Dalam persoalan “shared thinking”, orang yang sukses tidak kedekut berkongsi idea kerana berfikir secara berkumpulan jauh lebih baik daripada berfikir bersendirian dan mereka tidak takut sama sekali idea mereka dicuri orang kerana mereka berupaya memikirkan idea baru. Juga kebaikan berfikiran kongsi ini ialah berupaya menguji apakah pemikiran itu boleh diterima oleh orang lain atau tidak, sekaligus sebagai medan ujian kepada pemikiran kita.

Hampir sama dengan cara berfikir di atas ialah “unselfish thinking”, iaitu pemikiran yang tidak mementingkan diri sendiri namun berusaha juga membantu yang lain dengan memberi idea kepada pemikiran mereka. Biasanya orang yang berjaya akan bersama dengan orang yang berjaya, samalah dengan orang gagal akan bersama dengan orang-orang yang gagal. Pepatah inggeris mengatakan bahwa, “birds with the same feathers will flock with the birds with the same feathers”.

Akhirnya orang-orang yang berjaya, berfikir secara “bottom-line thinking”, sebab mereka telah meletakkan sasaran minimum. “Bottom-line” bagi sebuah bisnes ialah untung dan rugi, sama juga dalam pengajaran “bottom-line” ialah kefahaman pelajar. Jika “bottom-line” tidak dicapai bermakna kita gagal. Itu keperluan yang sangat asas dalam sesuatu tindakan atau pemikiran.

Gabungan daripada semua jenis pemikiran-pemikiran di atas menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya, dalam kerjayanya dan dalam segala apa misi yang ingin dicapai. Pada asasnya setiap kita mesti berani berfikir, kerana jika untuk berfikir pun kita takut apalagi untuk bertindak kerana berfikir tidak memerlukan wang atau biaya. Hanya dengan melayangkan fungsi otak kita kepada sesuatu perkara dan menggunakan daya yang ada dalam otak itu untuk menyelesaikan sesuatu bermakna kita berfikir. Namun sejauh mana kita berupaya menggunakan fikiran kita secara maksimum bagi mencapai tujuan tertentu akan bergantung kepada ilmu yang kita ada.

Marilah kita membangun manusia seutuhnya daripada terus membangun infrastruktur tanpa memikirkan siapakah yang akan memakmurkan segalanya itu. Jika semuanya berada pada orang yang tidak kompeten untuk berfikir dengan baik maka kehancuran yang akan kita hadapi.

Janganlah kita menjadi seperti layang-layang, yang hidupnya bergantung kepada angin yang bertiup, tetapi jadilah seperti batu karang yang tetap utuh di tempat walau pun dirempuh ombak ganas yang datang bertalu-talu.

Sama-samalah kita berfikir.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 24 Feb 2012.