Saturday, 16 June 2012

Tiga puluh tips menjadi manusia kreatif


Kreativiti sangat penting dalam kehidupan manusia supaya menjadi lebih berjaya dan dapat mengembangkan ketrampilan, pengetahuan serta memperkaya makna hidup dengan pelbagai keadaan yang indah. Dalam artikel pendek ini kita lihat tiga puluh (30) tips menjadi manusia kreatif.
  1. Percaya diri dan percaya bahwa kita tidak sempurna, hanya Allah SWT sahaja yang sempurna, semua makhluk tidak sempurna.
  2. Percaya bahwa semua kekurangan dapat ditutup melalui tindakan kreatif kita dengan usaha keras, latihan dan ketahanan.
  3. Yakin sepenuhnya bahwa kejayaan berasal dari Allah SWT, yakin bahwa setiap kejayaan mempunyai waktu masing-masing, oleh itu kita perlu berusaha, berlatih dan bersabar sehingga waktu kejayaan itu tiba.
  4. Yakinlah bahwa kegagalan dalam usaha pertama bukanlah gagal selamanya. Sebenarnya kegagalan ialah kejayaan yang tertangguh.
  5. Tetap yakin jangan goyah walau pun mendapat kritikan dan kecaman pada idea pertama, jangan menjadikan kritikan itu penghalang langkah anda seterusnya.
  6. Yakinlah bahwa pemikiran kreatif boleh dipelajari, dan ketrampilan dapat dikembangkan dengan latihan dan kesabaran.
  7. Yakinkan diri bahwa berimaginasi itu berada pada kedudukan yang sama penting dengan befikir ilmiah dan realiti.
  8. Yakinlah bahwa kita dapat meningkatkan kapasiti memori kita melalui latihan.
  9. Yakinlah dengan memasuki inti kepada masalah dan memperolehi kesamaran tentang sesuatu masalah akan dapat memberikan dimensi baru bagi manusia.
  10. Yakinlah bahwa setiap masalah mempunyai lebih dari satu penyelesaian alternatif dan mempunyai lebih daripada satu pertanyaan kepada masalah itu.
  11. Yakinlah bahwa setiap manusia memiliki kemampuan yang cukup yang dapat digali dengan belajar, berlatih dan fokus.
  12. Jangan terlalu yakin dengan perkara-perkara yang tidak pasti. Lakukan penyelidikan lanjut bagi mendapatkan fakta yang jelas.
  13. Yakin dengan betapa pentingnya pemahaman terhadap sesuatu masalah.
  14. Percayalah bahwa tindak balas perasaan kita perlu dilatih secara bertahap-tahap. Kepekaan itu tidak lahir secara tiba-tiba dan serentak tanpa sebarang persiapan.
  15. Yakinlah bahwa alasan ketika gagal akibat ketiadaan waktu dan sibuk bukanlah alasan yang cukup kuat.
  16. Jika kita mempunyai masa lapang, maka berfikirlah untuk melakukan sesuatu aktiviti yang dapat mengisi masa kita itu.
  17. Sediakan satu buku kecil khas untuk menulis pelbagai idea dan mencatit setiap idea kreatif yang terlintas dalam fikiran, bawa buku kecil ini setiap masa dalam saku kita.
  18. Berusahalah agar setiap pekerjaan yang kita lakukan mempunyai unsur kekreatifan.
  19. Selalulah bercita-cita, berharap dan berdoa mendapat kejayaan.
  20. Kita perlu yakin bahwa kita mempunyai pemikiran yang istimewa yang dianugerah Allah kepada kita, dan berfikir secara mendalam ialah sesuatu yang sukar namun kemahiran itu tidak mustahil dicapai.
  21. Kita perlu yakin bahwa membina kemahiran berfikir kreatif dapat dilakukan dengan cara belajar dan berlatih.
  22. Yakinlah bahwa kita perlu memulakan sesuatu dari diri sendiri dan jangan menunggu orang lain memulakan gerakan terlebih dahulu. Gerakan dan tindakan yang lambat menghalang berfikir kreatif.
  23. Yakin bahwa kita boleh merubah pola berfikir kita ke arah kreativiti dan positif selagi kita mahu berbuat demikian.
  24. Yakinlah bahwa kemampuan otak boleh dikembangkan seperti juga otot tubuh manusia boleh dikembangkan.
  25. Kita dapat menambahbaik sesuatu sistem yang telah ada dengan tambahan baru dan bermakna tanpa terlalu merubah bentuk dan komponen sistem asal (kaedah TRIZ dapat melakukan ini), perkara ini sukar dilakukan oleh manusia biasa.
  26. Yakinlah bahwa tabiat suka mentelaah, memerhati dan mengkaji secara saksama bukan memperlihatkan rasa gelisah tetapi memang merupakan ciri manusia kreatif.
  27. Yakinlah bahwa kita tidak dapat membuat semua orang menyukai kita kerana kepelbagaian sifat dan ciri manusia.
  28. Yakinlah kreativiti diberikan kepada semua orang dan tidak terhad kepada sesuatu kelompok saja. Kemahiran itu tidak lahir begitu saja, namun muncul dengan cara belajar dan terus berlatih.
  29. Berimaginasi atau berangan-angan serta meramal sesuatu dengan fakta saintifik dan kemampuan diri (sixth sense) dapat menambah dimensi baru kepada manusia.
  30. Selalu mengemukakan idea baru, tidak kaku dan selalu percaya bahwa selalu ada yang lebih baik yang pernah kita lakukan atau orang lain lakukan.
Atas segala-galanya di atas kita mestilah selalu berhubungan dengan Allah SWT melalui solat wajib, tahajjud, solat duha dan sebagainya. Juga perlu sangat memperbaiki hubungan sesama manusia, jangan sombong dan bangga diri kerana semua itu hanya Allah SWT sahaja yang berhak memilikinya.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 17 Jun 2012.

Friday, 15 June 2012

Sifat Sosial Manusia Kreatif


Dalam tulisan kecil ini saya ingin menyorot sifat sosial manusia kreatif dan mungkin menggunakan ciri-ciri ini sebagai usaha mengesan manusia kreatif Malaysia yang dapat memajukan Malaysia ke tahap lebih maju.
  1. Manusia kreatif mempunyai keistimewaan dalam memimpin orang lain. Mereka ada cara tersendiri.
  2. Manusia kreatif memiliki kemampuan untuk mengatur perdebatan dan rundingan mengenai permasalahan hidup dan sosial.
  3. Manusia kreatif selalu sabar dan tabah terutama apabila gagal mewujudkan keinginan mereka. Mereka tidak pernah putus asa atau patah semangat. Perkataan putus asa dan patah semangat sudah lama dibuang daripada kamus hidup mereka.
  4. Manusia kreatif mempunyai disiplin hingga mempunyai cara tersendiri berbanding orang lain.
  5. Manusia kreatif berasa sangat suka dan gembira apabila dapat melakukan pekerjaan yang memberi kesempatan padanya untuk berinovasi.
  6. Manusia kreatif menyayangi orang lain dan mahu bekerjasama dengan mereka.
  7. Manusia kreatif memiliki sifat amanah, berani dan sopan.
  8. Manusia kreatif mempunyai motivasi untuk mendapat kejayaan dan menjadi orang yang istimewa.
  9. Manusia kreatif adalah orang yang peka dan memiliki sifat suka bergurau.
  10. Manusia kreatif selalu terbuka terhadap pengalaman orang lain dan pengalaman yang diperolehi daripada lingkungan luar.
  11. Manusia kreatif selalu mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi orang lain.
Itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri sosial manusia kreatif yang boleh kita perhatikan berlaku di persekitaran kita.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 16 Jun 2012

Thursday, 23 February 2012

Cara berfikir orang-orang yang berjaya

Berfikir ialah pelita hidup. Cahaya fikir itu bukan saja menembusi alam nyata, tapi juga alam maya. Malah cahaya fikir itu akan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat. Orang yang berfikir sebelum bertindak membawa banyak keuntungan material dan juga spiritual.

Buku karya John C. Maxwell (2011), “How Successful People Think” (terjemahan Bahasa Melayu), PTS Professional Publishing Sdn Bhd, setebal 100 halaman telah memberi saya inpirasi untuk menulis artikel ini. Ini kerana keupayaan Malaysia menjadi Negara Maju menjelang tahun 2020 bukan hanya berasaskan pembangunan fizikal, tetapi yang sangat penting ialah pembangunan insaniah rakyat Malaysia. Jika tidak segala apa yang dibangun akan hancur berkecai oleh tangan-tangan manusia yang sifat insaniahnya kerdil.

Beliau telah menggariskan persoalan-persoalan seperti berfikir secara “big picture”, fokus, kreatif, realistik, strategik, “possibility thinking”, reflektif atau introspeksi diri, mempersoalkan pemikiran popular, “shared thinking”, mengamalkan “unselfish thinking”, bergantung harap pada “bottom-line thinking”.

Pemikir yang berjaya melihat secara “big picture”, iaitu melihat sesuatu secara menyeluruh agar semua aspek, biar pun kecil mesti diambil perhatian. Ini akan memberikan suatu keadilan kepada persoalan yang difikirkan. Biasanya pemikir akan menyatakan ideanya melalui carter besar seperti kaedah “mind mapping” untuk menggambarkan idea keseluruhan.

Orang yang berjaya juga menggunakan “possibility thinking”, iaitu dengan melihat seluruh kemungkinan yang ada yang mungkin berlaku, beliau menilai segala risiko yang timbul akibat daripada sesuatu perbuatan atau tindakan dan berfikir secara mendalam bagaimana setiap kemungkinan itu akan memberi impak kepada keseluruhan fikiran atau tindakan.

Dalam persoalan “shared thinking”, orang yang sukses tidak kedekut berkongsi idea kerana berfikir secara berkumpulan jauh lebih baik daripada berfikir bersendirian dan mereka tidak takut sama sekali idea mereka dicuri orang kerana mereka berupaya memikirkan idea baru. Juga kebaikan berfikiran kongsi ini ialah berupaya menguji apakah pemikiran itu boleh diterima oleh orang lain atau tidak, sekaligus sebagai medan ujian kepada pemikiran kita.

Hampir sama dengan cara berfikir di atas ialah “unselfish thinking”, iaitu pemikiran yang tidak mementingkan diri sendiri namun berusaha juga membantu yang lain dengan memberi idea kepada pemikiran mereka. Biasanya orang yang berjaya akan bersama dengan orang yang berjaya, samalah dengan orang gagal akan bersama dengan orang-orang yang gagal. Pepatah inggeris mengatakan bahwa, “birds with the same feathers will flock with the birds with the same feathers”.

Akhirnya orang-orang yang berjaya, berfikir secara “bottom-line thinking”, sebab mereka telah meletakkan sasaran minimum. “Bottom-line” bagi sebuah bisnes ialah untung dan rugi, sama juga dalam pengajaran “bottom-line” ialah kefahaman pelajar. Jika “bottom-line” tidak dicapai bermakna kita gagal. Itu keperluan yang sangat asas dalam sesuatu tindakan atau pemikiran.

Gabungan daripada semua jenis pemikiran-pemikiran di atas menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya, dalam kerjayanya dan dalam segala apa misi yang ingin dicapai. Pada asasnya setiap kita mesti berani berfikir, kerana jika untuk berfikir pun kita takut apalagi untuk bertindak kerana berfikir tidak memerlukan wang atau biaya. Hanya dengan melayangkan fungsi otak kita kepada sesuatu perkara dan menggunakan daya yang ada dalam otak itu untuk menyelesaikan sesuatu bermakna kita berfikir. Namun sejauh mana kita berupaya menggunakan fikiran kita secara maksimum bagi mencapai tujuan tertentu akan bergantung kepada ilmu yang kita ada.

Marilah kita membangun manusia seutuhnya daripada terus membangun infrastruktur tanpa memikirkan siapakah yang akan memakmurkan segalanya itu. Jika semuanya berada pada orang yang tidak kompeten untuk berfikir dengan baik maka kehancuran yang akan kita hadapi.

Janganlah kita menjadi seperti layang-layang, yang hidupnya bergantung kepada angin yang bertiup, tetapi jadilah seperti batu karang yang tetap utuh di tempat walau pun dirempuh ombak ganas yang datang bertalu-talu.

Sama-samalah kita berfikir.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 24 Feb 2012.

Sunday, 15 January 2012

Kecerdasan berganda (Multiple Intelligence)

Setelah kehidupan dunia berkembang begitu pesat dan menjurus kepada kepelbagaian bidang, ruang lingkup untuk mencari rezeki, keselesaan dan kebahagian akan menjadi semakin kecil. Ini membuat manusia kepada satu keperluan yang penting iaitu memiliki kecerdasan berganda bagi menghadapi situasi yang semakin kompleks pada masa akan datang. Samalah juga kini, satu pendapatan sudah tidak mencukupi sehingga kini didesak untuk mencari pendapatan berganda. Melalui kecerdasan berganda adalah diharapkan agar dunia ini akan menjadi lebih baik untuk kehidupan.

Menurut Howard Gardner, kecerdasan berganda terdiri dari lapan (8) jenis iaitu:
1. Kecerdasan dalam berkata-kata dan bahasa.
2. Kecerdasan logika matematika
3. Kecerdasan visual dan berdimensi lebih dari dua.
4. Kecerdasan kinestetik jasmani.
5. Kecerdasan musical.
6. Kecerdasan interpersonal.
7. Kecerdasan intrapersonal.
8. Kecerdasan naturalis.

Kecerdasan dalam berkata-kata dan bahasa: kemampuan untuk menggunakan kata-kata atau bahasa dalam berkomunikasi dalam kehidupan seharian. Kecerdasan membaca, berbicara, mendengar dan memahami symbol-simbol di jalan raya dan sebagainya.
Kecerdasan logika matematika: bijak mengolah angka, menterjemah daripada angka kepada maksud disebaliknya. Logika digunakan secar mendalam dan sepenuhnya. Kepintaran menghasilkan hipotesis dan menguji dengan data eksperimen.

Kecerdasan visual dan berdimensi lebih dari dua: melihat gambaran dalam minda dengan jelas, buka saja dalam dua dimensi tetapi juga dalam tiga atau lebih dimensi.

Kecerdasan kinestetik jasmani: kecerdasan mengkoordinasikan pergerakan seluruh badan untuk mencapai sesuatu, terdapat pada ahli sukan yang hebat. Juga kemampuan untuk memanfaatkan tubuh fizikal dalam mencapai sesuatu.

Kecerdasan musical: kepintaran menyanyi, mengingat lirik, peka terhadap irama dan berupaya menikmati music.

Kecerdasan interpersonal: dapat bekerjasama dengan manusia lain dengan sempurna dan bekerjasama dalam mencapai tujuan kumpulan atau kendiri.

Kecerdasan intrapersonal: berupaya memahami diri sendiri dan insaf dengan segala kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri dan berusaha untuk meningkatkan kemahiran ini dari masa ke semasa.

Kecerdasan naturalis: peka terhadap alam persekitaran dan berupaya memanfaatkan alam sekeliling untuk kebaikan diri atau masyarakat.

Kecerdasan-kecerdasan yang dinyatakan sebahagiannya dimiliki oleh manusia dan oleh kerana terbatasan manusia jarang sekali ada manusia yang memiliki semuanya. Cukup dengan memiliki beberapa kecerdasan yang bersesuaian hidup manusia akan lebih berjaya dan bermanfaat kepada manusia lain.

Rujukan: Ariany Syurfah (2009), "Multiple Intelligences for Islamic Teaching", Sygma Publishing, Bandung, Indonesia.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 16 Januari 2012.

Friday, 2 September 2011

Antara berfikir dan berzikir

Ada sekitar 2,600 perkataan dalam Bahasa Arab diadaptasikan ke Bahasa Melayu, dua daripadanya ialah perkataan fikir (fikr) dan zikir (zikr). Pada mulanya saya ingin menamakan tajuk tulisan ini hanya, “antara fikir dan zikir” tetapi merubahnya kepada, “antara berfikir dan berzikir”, ini disebabkan terlalu luas makna fikir sehingga mencapai duapuluh (20) takrifan. Jika berfikir, ianya membawa makna dan terfokus kepada proses menggunakan akal untuk menghasilkan suatu keputusan mengenai sesuatu yang difikirkan.

Istilah berzikir pula akan menjurus kepada proses mengingati Allah melalui lidah (sebutan), ingatan (akal) dan rasa (hati) sehingga ingatan kita tidak pada yang lain, hanya kepada Allah semata-mata.

Apabila kita dihadapkan dengan sesuatu persoalan atau masalah, pertama sekali fikiran kita akan membuat pencarian dalam pengkalan data ingatan apakah pernah saya mengalami perkara tersebut sebelum ini, juga apakah ada pengalaman orang lain yang hampir serupa. Berlaku proses analisis dan sintesis dalam akal kita dengan begitu cepat sekali untuk merasionalisasikan persoalan yang dihadapi. Berfikir melibatkan alat utama yang kita namakan akal (aql).

Berzikir pula merupakan proses yang sangat berbeza yang melibatkan tiga (indera) utama iaitu lidah, ingatan, dan rasa. Ketiga-tiga indera ini berintegrasi secara serentak dan akan menghasilkan suatu suasana bahagia dan puas. Lidah menyebut bahan yang dizikirkan, ingatan akan membenarkan apa yang dizikirkan itu dan rasa akan menajamkan penerima hati terhadap hakikat yang sedang dizikirkan.

Akibat proses berfikir akan meningkatkan aspek kognitif, sementara proses berzikir akan menambah rasa kecintaan kepada Allah. Dua-duanya mesti seiring untuk menjadikan manusia yang kamil (sempurna).

Rene Descartes seorang ahli falsafah Perancis yang mempelopori Falsafah Rasionalisma dan juga penemu sistem koordinat dalam matematik, pernah berkata, “Aku berfikir, maka aku ujud (Cognito ergo sum)”. Berfikir ialah suatu proses mencerna dan memahami keadaan yang ada di persekitaran dalam rangka menjawab suatu persoalan yang muncul dalam diri seseorang.

Dalam Islam kemahiran berfikir sangat dihargai, malah sangat dianjurkan oleh Allah agar seorang hamba dapat mengoptimalkan daya berfikir dalam mencerna seluruh objek di alam untuk mengetahui dan memahami pencipta itu sendiri. Apabila kita membaca Al-Quran akan ditemukan sangat banyak ayat atau frasa yang memerintahkan dan menuntun supaya berfikir. Di antara frasa yang selalui ditemui dalam Al-Quran ialah “afala tatafakkarun”, “afala tafaqqahun”, “afala yatadabbarun”, “Afala tasy’urun” dan sebagainya. Walaupun banyak versi digunakan oleh Al-Quran namun pada dasarnya mengajak kita supaya berfikir, memahami, merenung, dan menganalisa. Oleh sebab itu, kegiatan berfikir menjadi suatu hal yang cukup penting dalam Islam.

Sejarah tamadun Islam telah menunjukkan bahawa berkembangnya Islam bergantung erat dengan kegiatan berfikir para mujtahid dalam berbagai bidang keilmuan Islam. Para imam mujtahid dalam hukum Islam misalnya, dalam merumuskan hukum Islam dalam bentuk yang khusus dan rinci dalam berbagai masalah yang tidak ditemukan jawabannnya baik dalam Al-Quran, sunnah rasul maupun perilaku para sahabat sehingga mereka mesti berfikir secara mendalam untuk mencari jawapan dengan menggunakan segala kemampuan yang mereka miliki.

Walaupun demikian, dalam Islam seorang mukmin tidak hanya dituntut dalam mengenal tuhan, alam dan termasuk dirinya sendiri hanya melalui dengan berfikir. Ada satu lagi cara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada pencipta seluruh alam semesta dengan melalui proses berzikir.

Dalam pengertian sempit berzikir bermakna suatu kegiatan mengucapkan nama-nama Allah yang agung dan mulia dengan lidah dalam rangka memuji dan membesarkanNya. Pada amnya masyarakat umum masing memahami berzikir dalam bentuk di atas, namun dalam pengertian yang lebih luas lagi berzikir adalah seluruh kegiatan dan gerakerja memahami kekuasaan Allah yang bertujuan untuk lebih dekat kepadaNya.

Oleh sebab itu, perintah berzikir tidak hanya pada ketika melakukan solat atau sesudahnya di mesjid, madrasah dan sebagainya, tetapi dalam seluruh keadaan dan tempat kita selalu dituntut untuk tetap berzikir. Sebagaimana yang difirmankan Allah dalam Surah Ali-Imran: 191, ”(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa mereka.”

Ayat di atas dengan jelas menggambarkan bahwa kegiatan berfikir tidak dibatasi oleh keadaan dan suasana apa pun tetapi mesti dilakukan secara berterusan. Tetapi perlu diingat bahwa Islam tidak memisahkan proses berzikir dan berfikir. Apabila diteliti lebih mendalam antara berfikir dan berzikir dalam kehidupan sehari-hari, maka kita akan dapat membezakan keduanya sebagai dua kegiatan yang menghasilkan kesan yang berbeza.

Berfikir akan mencuba dan menemukan apa yang belum diketahui untuk selanjutnya merumuskannya. Hasilnya pun tidak hanya sebatas untuk kepentingan pribadi tetapi dapat bermanfaat kepada ummat manusia. Ibn sina, Ibn Rusd, Ibn Batutah, dan lain-lainnya menghasilkan bermacam karya yang sampai sekarang dapat dimanfaatkan oleh seluruh ummat manusia.

Sedangkan berzikir memberi kesan yang lebih dominan dan besar hanya kepada individu yang melakukannya sendiri. Kesan yang sangat ketara ialah bertambah baik tingkahlaku, meningkat baik akhlaknya, dan akan lebih dekat kepada Allah SWT. Namun keduanya, tetap menyatu pada diri seseorang sekalipun saling punya kekuatan yang positif bagi seorang muslim.

Oleh sebab itu, kedua potensi di atas mesti dapat disinergikan. Corak berfikir yang terlepas dari ikatan berzikir akan dapat menghasilkan corak-corak berfikir yang sifatnya destruktif dan negatif sehingga melanggar larangan Allah. Pemakan rasuah, pelaku maksiat dan yang sama dengannya sedia mengetahui yang mereka melakukan kesalahan melalui proses berfikir mereka, tetapi oleh kerana mereka tidak berzikir kepada Allah, mereka tetap juga melakukan perkara terkutuk itu.

Sebaliknya, berzikir tanpa mengasah kemahiran berfikir bagi menemui keagungan Allah dan sebagainya bukan merupakan suatu hal yang terpuji pula. Mengintergrasikan berfikir dan berzikir adalah jalan terbaik bagi mendapatkan kesan yang maksmima, kedua-duanya hendaklah dilakukan secara bersama-sama.

Pada hakikatnya seruan dan perintah berfikir dan berzikir dalam Al-Quran hampir sama banyaknya, ini menunjukkan betapa penting dan mustahak kedua-dua perkara tersebut. Karena perpaduan daya berfikir dan berzikir yang kuat dalam diri seseorang akan menghasilkan kesan yang luar biasa dalam kehidupan.

Jika kita boleh melahirkan pemimpin yang menyepadukan berfikir dan berzikir maka akan menjelmalah keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat, kalau sifat berfikir dan berzikir ada pada orang kaya maka dia akan rajin berinfak dan menjadi dermawan yang sangat berkesan bagi mengatasi masalah masyarakat umum.

Di manakah pertemuan kedua-dua sifat itu berlaku? Kedua-duanya akan berpadu pada ayat 191, Surah Ali-Imran yang menjelaskan bahwa “orang-orang berakal (ulul albab)” adalah mereka yang selalu berzikir dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring. Dengan kata lain, orang yang setiap saatnya berzikir kepada Allah sehingga sampai pada kesimpulan bahwa tidak satupun yang sia-sia diciptakan Allah di permukaan bumi. Hal ini merupakan kesimpulan dari mereka yang berfikir yang sangat mendalam dan luas, yang pada akhirnya akal mengakui kebesaran dan keagungan Allah tanpa ada yang sia-sia di alam ini.

Dengan kata lain, berfikir dan berzikir dalam Al-Quran dimaksudkan tidak lain adalah sebagai suatu cara yang dapat menyampaikan seseorang hamba kepada tauhid yang kuat dan kukuh dengan adanya pengakuan secara sedar dan mendalam dari apa yang berlaku di alam ini terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Berfikir dan berzikir adalah dua potensi yang sangat besar yang hanya dimiliki oleh seorang muslim yang serius dan sedar kewujudannya di alam ini. Akhirnya kita akan tunduk sepenuhnya dan menjadi hamba yang taat kepada Allah Maha Pencipta sekalian ala mini.

Semoga Allah anugerahkan kita daya untuk berfikir dan berzikir supaya bumi Allah ini boleh kita makmurkan bersama.

Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 3 September 2011

Thursday, 1 September 2011

Psikosibernetik suatu bidang baru

Buku “Psycho-Cybernetics” karangan Maxwell Maltz, seorang pakar bedah plastik ini telah saya beli sebelum bersara dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sekitar tahun 2002. Ketika berpindah ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buku ini tenggelam dalam banjir semasa banjir besar di Perlis akhir tahun 2005. Kami dilarang memasuki kawasan banjir termasuk kawasan rumah sewa saya di Taman Desa Pulai ketika baru pulang dari Langkawi menghadiri persidangan Matematik Kejuruteraan di sana.

Saya terus memandu ke Kuala Lumpur dan pulang ke Bangi, seminggu lepas itu baru saya mendapati buku ini bersama-sama dengan barangan yang lain “mandi” semasa banjir itu. Betapa sedihnya melihat barangan yang baru saya angkut dari Bangi terendam air banjir kerana belum sempat mengemas kerana terpaksa ke Langkawi menghadiri pertemuan ilmiah di sana.

Buku-buku dan barangan yang basah saya jemur dan Al-hamdulilah buku-buku yang menjadi teman penghibur saya dapat diselamatkan walaupun terdapat kesan-kesan banjir padanya.

Saya terjemahkan “Psycho-Cybernetics” sebagai “Psikosibernetik” tanpa tanda sengkang, sama seperti psikologi, psikometrik dan lain-lain perkataan bidang psikologi. Saya tidak tahu kenapa saya sangat berminat dengan bidang psikologi, malah banyak buku psikologi saya beli atas dasar minat itu walaupun belum tahu bilakah buku-buku itu akan digarap secara serius.

Mungkin juga minat saya timbul kerana psikologi ada kaitan dengan manusia dan kemanusiaan. Bagaimana menghadapi manusia lain dalam situasi dan kondisi yang berbeza. Ia juga membincangkan peranan akal dan tatacara ianya berinteraksi dengan persekitaran yang kompleks.

Terdapat sistem yang telah sempurna dicipta Allah dalam diri setiap manusia seperti sistem imunisasi badan, sistem syaraf, sistem nilai yang bersifat abstrak, dan berbagai-bagai sistem yang lain. Setiap system secara kasarnya mempunyai tiga komponen penting, iaitu input, proses dan output.

Dalam beberapa system yang tertutup, mungkin saja output bagi satu system akan menjadi input kepada system yang lain. Sungguh sempurna system ciptaan Allah, tiada manusia yang dapat meniru ciptaan Allah. Walaupun ada cubaan membuat system inteligensia artifisial (Artificial Intelligent System), namun ianya jauh dari kesempurnaan ciptaan Allah.

Kita digalakkan mengkaji system ciptaan Allah kerana melalui kajian tersebut kita dapat mengenal diri sendiri dan siapa yang kenal diri sendiri akan kenal dengan penciptanya iaitu Allah. Pepatah Arab ada mengatakan, “Man arofa nafsahu, faqod arofa Robbahu” (siapa yang mengenali dirinya, maka dia akan mengenali Tuhannya).

Doktor Maxwell Maltz yang selalu menukar wajah seseorang melalui pembedahan plastic mendapati bahwa ada manusia yang dia ubah mukanya akan mengalami perubahan personality, juga ada yang sama sekali tidak berubah personalitinya walaupun berubah wajahnya. Doktor pakar itu sungguh hairan. Akhirnya beliau mendapati bahwa yang perlu diubah terlebih dahulu ialah imej kendiri (self-image) sebelum membuat perubahan kepada wajah. Bagi beliau imej kendiri ialah konsep mental dan spiritual seseorang terhadap dirinya sendiri.

Maxwell terus mencari data tentang “self-image” sehingga ke Jerman kerana ketika itu doctor di Jerman lebih maju dalam bidang ini. Beliau mengkaji apa yang terjadi sebenarnya dalam system syaraf diri manusia apabila imej kendiri manusia itu berubah. Beliau mendapat jawapan dalam sains yang baru iaitu “Psycho-Cybernetics”.

Anehnya kata beliau bidang baru ini lahir daripada kajian ahli Fizik dan Matematik, bukan dari ahli psikologi. Psikosibernetik ialah suatu bidang yang berkaitan dengan teknologi, dayausaha mencapai matlamat (goal-striving), kelakuan bermotifkan matlamat (goal-oriented behavior) pada system mekanikal manusia. Psikosibernetik menerangkan apa yang berlaku dan apa yang diperlukan bagi mendapatkan tingkahlaku baik yang diinginkan.

Dalam buku ini Dr Maxwell menggariskan panduan bagi mencapai imej kendiri dalam mencapai matlamat kendiri manusia. Maxwell mengatakan bahwa Imej kendiri (self-image) merupakan kunci utama kepada perubahan personality dan perlakuan manusia. Satu contoh yang sangat menarik tentang cinta. Beliau mengatakan cinta yang diajar dengan cinta yang dialami sungguh berbeza. Keluarga yang hidup dalam suasana cinta yang sejati akan melahirkan anak-anak yang suka kepada kedamaian cinta berbeza dengan cinta yang hanya disyarahkan tetapi pelakunya tidak mengamalkan konsep cinta yang sebenarnya. Pengalaman sungguh berbeza dengan pengajaran, tetapi pengajaran melalui pengalaman sangat bermanfaat untuk merubah tingkahlaku manusia.

Menurut Dr Maxwell pengalaman boleh dicipta walaupun ianya belum terjadi. Caranya ialah dengan mencipta pengalaman itu dalam makmal pemikiran manusia. Katanya system syaraf manusia tidak dapat membezakan antara pengalaman sebenar dengan pengalaman yang dicipta (created and controlled experience). Sekarang ada berbagai simulator seperti “Flight Simulator”, “Micro-Teaching” dan lain-lain yang dapat memberikan pengalaman sintetik (synthetic) atau pengalaman rekaan bagi meningkatkan kemahiran atau merubah kelakuan manusia dari yang tidak baik kepada yang baik.

Kaedah ini digunakan dalam meningkatkan pengucapan umum, meredakan ketakutan pelajar perubatan, menghapuskan malu dalam bersosial, membangun keyakinan diri, menjual lebih banyak produk, menjadi lebih mahir dalam permainan catur dan sebagainya. Semua perlakuan yang diinginkan boleh diprogramkan dan dijalankan melalui pengalaman yang dicipta melalui kaedah bidang baru yang dinamakan Psikosibernetik.

Beliau mengatakan jika sesuatu itu diamalkan selama 21 hari, perlakuan yang demikian akan menjadi suatu kebenaran. Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 September 2011.

Tuesday, 12 July 2011

Peranan Kebarangkalian Dalam Penyelesaian Masalah

Hampir semua pakar matematik sependapat bahwa teori kebarangkalian adalah suatu teori yang sukar difahami pelajar. Kita kurang arif kenapa persoalan ini timbul kerana pada dasarnya ianya bertolak dari hasil bahagi jumlah peluang yang ada bagi sesuatu keadaan dibahagi dengan jumlah semua peluang yang mungkin.

Teori ini berguna ketika kita ingin membuat dugaan mengenai peluang mendapat sesuatu keadaan. Contohnya dua pemuda berebut seorang gadis. Peluang seorang pemuda mendapat gadis itu ialah 50% atau separuh. Jika pemuda bertambah menjadi 3 orang, maka kebarangkalian setiap pemuda mendapatkan gadis tersebut ialah satu pertiga. Jika jumlah pemuda bertambah hingga n orang, maka peluang seorang pemuda mendapatkan gadis itu ialah satu per n. Peluang atau kebarangkalian akan semakin berkurang apabila pemuda makin bertambah.

Jika sebaliknya berlaku iaitu jumlah gadisnya ditambah menjadi ramai maka peluang untuk seorang pemuda mendapat gadis kian cerah dan bertambah. Dalam hal penciptaan, para genius berusaha memperbanyakkan cara mentakrifkan masalah sehingga peluang untuk mendapatkan penyelesaian menjadi begitu mudah.

Orang biasa akan segera menutup perspektif yang lain sebaik saja satu perspektif yang dikira baik dijumpai, berbeza dengan genius atau pemikir kreatif, mereka akan terus bertanya dan membina perspektif baru dan berbagai mengenai sesuatu masalah. Mereka rajin bertanya sehingga merimaskan manusia biasa dalam banyak keadaan. Namun, manusia genius tidak akan berhenti di situ saja, dia akan terus bertanya dan bertanya sehingga jelas baginya duduk sesuatu perkara.

Manusia biasa akan segera mencari zon selesa dan terus diam dalam kepompongnya kerana mereka khuatir hidupnya akan jadi tidak stabil apabila persoalan baru timbul dan mereka tidak punya jawapan terhadap persoalan itu. Manusia kreatif berani mengambil risiko dan bersedia berubah dalam keadaan dan dengan apa cara sekali pun.
Mengenai penambahan perspektif, Einstein pernah ditanya suatu soalan iaitu, apakah yang akan dia lakukan jika sebuah komet besar jatuh dan menghancurkan bumi dalam masa satu jam. Einstein menjawab bahwa dia akan menggunakan 55 minit untuk mengira dengan teliti bagaimana cara merumuskan pertanyaan dan 5 minit lagi untuk menyelesaikannya. Di sini beliau berusaha secara bersungguh-sungguh untuk memahami masalah secara jelas terlebih dahulu sebelum mengemukakan sesuatu penyelesaian.
Sebagai panduan, beberapa cara yang berbeza-beza untuk menstruktur kembali masalah yang kita hadapi:

1. Jadikan masalah tersebut bersifat lebih global dan spesifik.
2. Pisahkan bahagian-bahagian dari keseluruhan. Maknanya kita pastikan apakah komponen masalah tersebut.
3. Ubah kata-kata pernyataan masalah dalam beberapa cara.
4. Buatlah pernyataan-pernyataan tindakan yang positif.
5. Tukarkan perspektif-perspektif menjadi beberapa perspektif baru.
6. Gunakan banyak perspektif atau sudut pandangan yang berlainan
7. Gunakan banyak pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah yang kita hadapi.

Mari kita amalkan cara-cara ini agar banyak daripada masalah yang kita hadapi dapat kita selesaikan dengan baik.