Friday 23 November 2012

Mencari Peluang Dalam Kecelaruan

Dalam lawatan terbaru saya ke Bandung pada 19 hingga 28 Oktober 2012 membawa pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Kembara Insani, saya sempat memperuntukan satu hari untuk ke Jalan Palasari, Bandung untuk membeli buku yang diminati. Dulu sekitar tahun 1970 hingga 1976 kami selalu mengunjungi Jalan Kiaracondong, Bandung untuk tujuan yang sama. Buku-buku bekas agak murah harganya dan buku-buku Inggeris yang baru terbit di Barat sudah siap diterjemahkan ke Bahasa Indonesia.

Kiaracondong hanya tinggal kenangan dan kini saya tertumpu pula ke Jalan Palasari dengan deretan kedai yang panjang dan ada tiga jalur kedai yang menyediakan berbagai jenis buku-buku akademik dan non-akademik. Perkhidmatan terbaru penjual kini ialah apabila kita setuju membeli sesebuah buku mereka siap membalut kemas buku yang dibeli dengan plastic. Sehari suntuk kita boleh berada di sana. Jika kepenatan, ada warung-warung makanan yang sedia menjual makanan yang kita boleh pilih mengikut kegemaran kita. Biasanya saya memilih mee yamin dan minuman jus apokat. Nostalgia kembali ke alam perkuliahan di Institut Teknologi Bandung (ITB) sekitar tahun 70an. Jika sedikit bosan, kita boleh meminta bangku untuk duduk sambil melihat gadis-gadis comel Bandung yang lalu lalang.

Saya sempat membeli enam buah buku dan salah satu yang ingin saya kongsikan kandungannya ialah buku terjemahan bertajuk, “Exploiting Chaos” karya Jeremy Gutsche, tahun 2009. Buku setebal 278 halaman ini diterjemahkan oleh Sdr Sugianto Yusuf dan diterbitkan oleh PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta. Buku ini tidak begitu kemas penjilidannya dan mungkin saya terpaksa menjilidkannya semula supaya kemas. Buku yang mengkisahkan tentang inovasi ini sangat menarik minat saya.

Pada mukasurat tersendiri tertulis perkataan “Chaos” yang diterjemahkan sebagai “kekacauan” dan saya memilih untuk menyatakannya sebagai “kecelaruan”. Sebab utama saya memilih “kecelaruan” ialah kerana ianya banyak berkisar di sekitar minda. Kekacauan, pada saya sangat berbentuk fizikal, pada hal penghalang utama kemajuan diri kita ialah minda kita yang terkongkong dan bercelaru. Ada semacam ketidakstabilan dalam diri kita untuk keluar daripada pengaruh luaran dan berdiri sebagai manusia merdeka.

Ramai beranggapan jika berlaku kecelaruan segala-galanya akan musnah, tetapi sejarah telah mencatat bahwa Disney, CNN, MTV, Hyatt, Burger King, FedEx, Microsoft, Apple, Gillette, AT&T, Texas Instruments, 20th. Century Fox, IBM, Merck, Hershey’s, IHOP, Eli Lilly, Coors, Bristol-Myers, Sun, Amgen, The Jim Henson Company, LexisNexis, Autodesk, Adobe, Symantec, Electronics Arts, Fortune, GE, dan Hewlett-Packard, berjaya dan maju ketika ekonomi sedang gawat dan kecelaruan suasana sedang berlaku.

Buku ini dibahagi kepada lima (5) bahagian iaitu Sepotong Sejarah, Budaya Revolusi, Tend Hunting, Inovasi Adaptif dan Pesan Menular. Dalam Sepotong Sejarah, apa yang ingin diutarakan oleh pengarang ialah, “bukan spesies terkuat yang akan bertahan, atau pun yang paling cerdas, melainkan yang paling dapat menyesuaikan diri pada perubahan”. Selagi ikan yang berenang dalam air tidak mati, air laut yang mengelilingnya tidak dapat memasinkan ikan tersebut. Ini suatu gambaran betapa ikan dapat menyesuaikan dirinya dengan persekitaran. Selaku manusia kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, asalkan panduan jelas kita berpandukan Al-Quraan dan Al-Hadith dipegang dengan jelas, perubahan lain boleh diterima dan akan tetap bertahan. Semuanya itu memerlukan ilmu.

Dalam bab kedua yang bertajuk Budaya Revolusi, pengarang mengutarakan konsep keluar daripada “confort zone”, jangan merasa puas dengan apa yang ada dan selalu melakukan penambaikan dalam setiap aspek kehidupan dan halatuju. Saya menambah agar kita jangan ada sedikit pun rasa putus asa, berpegang teguhlah kepada “tali Allah”, tetapkan hubungan yang harmonis dengan Allah dengan memohon taufik dan hidayah kepadaNya. Pengarang mencadangkan agar para pencipta mengutamakan pelanggan, apa yang pelanggan hendak (customer needs), bukan apa yang pencipta itu suka. Sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya, terus mencuba selagi masih bernafas.

Bab ke-3 yang menumpukan kepada “Trend Hunting” atau Memburu Tren (Kecenderungan) menggambarkan agar kita selalu melihat kitaran hidup sesebuah sistem. Jika kita mengetahui ilmu TRIZ (singkatan Bahasa Rusia) yang setara dalam Bahasa Inggeris ialah “Theory of Inventive Problem Solving (TIPS)” terdapat lima (5) kitaran kehidupan bagi setiap sistem, iaitu kelahiran (birth), transisi (transistion), pertumbuhan (growth), matang (matured), kematian (death). Ini dinamakan kurva-S (S-Curve), sama seperti dalam system Biologi. Ini berlaku kepada system kejuruteraan (fizikal) dan juga system bukan kejuruteraan (system social) dan sebagainya. Pada setiap fasa kitaran itu terdapat ciri-ciri baik dan ciri-ciri buruk bersamanya. Contohnya kita ambil kitaran hidup manusia, iaitu lahir, transisi, pertumbuhan, matang dan mati. Mereka yang masih hidup segar bugar selepas bersara pada umur 55 tahun mempunyai ciri-ciri kaya wang, kaya ilmu, matang fikiran tetapi kudrat lemah sedikit. Mengetahui atau mahami pada peringkat mana kita atau sesuatu system itu berada sangat penting dalam mengatur perubahan dan mengatur perpanjangan hayat sesuatu system, misalnya system “tua” dikahwinkan dengan system yang lebih “muda”. Sinergi ini akan menghasilkan output yang optimal.

Bahagian ke-4 pengarang mengutarakan mengenai konsep “Inovasi Adaptif” (Adaptive Innovation). Di sinilah kemahiran berinovasi diperlukan, kerjasama rakan sangat diperlukan untuk sama-sama memikirkan keperluan pelanggan melalui kajian keperluan pengguna dan sebagainya. Pelanggan memerlukan sesuatu dan pada masa yang tepat siapa yang dapat menyediakan apa yang diperlukan oleh pelanggan, dia akan menang. TRIZ dikemukakan bagi mendapatkan “systematic innovation” dalam waktu yang singkat kerana mempunyai Matriks Kontradiksi yang ampuh dengan cadangan penyelesaian inovatif yang tepat. Kita tidak perlu lagi menggunakan kaedah “cuba-jaya” kerana mungkin saja percubaan kita tidak berjaya untuk jangkamasa yang lama.

Terakhir, pengarang menyodorkan kita dengan bahagian “Pesan Menular” atau “Multiplying Effect”. Fasa ini sangat penting kerana apabila kita Berjaya, kesan yang terbit daripada kejayaan itu akan menyakinkan pengguna lain dan sekaligus memberikan kita motivasi dalaman yang sangat kuat.

Kesimpulan

Hasil daripada pembacaan buku ini dan pengalaman yang lepas, saya dapat menyatakan bahwa kecelaruan bukan tidak baik, namun ianya membuat kita berada pada zon yang tidak selesa kerana keadaan celaru itu. Apabila kita tidak selesa, fikiran kita akan terus bekerja untuk mencari penyelesaian. Ini samalah dengan Prinsip LeChatelier dalam ilmu Kimia, iaitu jika suatu system kimia mengalami suatu ketidakstabilan (inequlibrium) dalam kepekatan, suhu, isi padu atau tekanan separa, maka ketidakstabilan itu akan berubah sebagai tindakbalas sehinggalah kestabilan baru tercipta. Dalam pendidikan keadaan ini juga disebut sebagai homeostatis.

Fikiran terbuka, ketabahan dan keinginan untuk berjaya akan menjadi daya dorong yang sangat ampuh dalam membina jati diri yang kuat dan bebas. Manusia yang dapat berdiri atas pendapatnya sendiri bersandarkan kepada kebenaran hakiki (absolute truth) bukan disebabkan sesuatu ganjaran sehingga sanggup menjadi saksi palsu dengan memutar belitkan kebenaran. Menurutkan darjat manusia berakal kepada tahap “Pak Turut” semata-mata.

Kita sebenarnya mesti mengintai peluang-peluang yang baik dan bermanfaat di sebalik kecelaruan yang mungkin berlaku akibat daripada kurang pengetahuan. Kita mesti selalu bertanya apakah dasar terhadap sesuatu yang berlaku. Melalui suatu dialog yang jujur kita akan dapat melahirkan natijah yang sesuai dengan hati nurani manusia, alam dan sesuai dengan kehendak Yang Maha Pencipta, Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 24 November 2012.