Tuesday 12 July 2011

Peranan Kebarangkalian Dalam Penyelesaian Masalah

Hampir semua pakar matematik sependapat bahwa teori kebarangkalian adalah suatu teori yang sukar difahami pelajar. Kita kurang arif kenapa persoalan ini timbul kerana pada dasarnya ianya bertolak dari hasil bahagi jumlah peluang yang ada bagi sesuatu keadaan dibahagi dengan jumlah semua peluang yang mungkin.

Teori ini berguna ketika kita ingin membuat dugaan mengenai peluang mendapat sesuatu keadaan. Contohnya dua pemuda berebut seorang gadis. Peluang seorang pemuda mendapat gadis itu ialah 50% atau separuh. Jika pemuda bertambah menjadi 3 orang, maka kebarangkalian setiap pemuda mendapatkan gadis tersebut ialah satu pertiga. Jika jumlah pemuda bertambah hingga n orang, maka peluang seorang pemuda mendapatkan gadis itu ialah satu per n. Peluang atau kebarangkalian akan semakin berkurang apabila pemuda makin bertambah.

Jika sebaliknya berlaku iaitu jumlah gadisnya ditambah menjadi ramai maka peluang untuk seorang pemuda mendapat gadis kian cerah dan bertambah. Dalam hal penciptaan, para genius berusaha memperbanyakkan cara mentakrifkan masalah sehingga peluang untuk mendapatkan penyelesaian menjadi begitu mudah.

Orang biasa akan segera menutup perspektif yang lain sebaik saja satu perspektif yang dikira baik dijumpai, berbeza dengan genius atau pemikir kreatif, mereka akan terus bertanya dan membina perspektif baru dan berbagai mengenai sesuatu masalah. Mereka rajin bertanya sehingga merimaskan manusia biasa dalam banyak keadaan. Namun, manusia genius tidak akan berhenti di situ saja, dia akan terus bertanya dan bertanya sehingga jelas baginya duduk sesuatu perkara.

Manusia biasa akan segera mencari zon selesa dan terus diam dalam kepompongnya kerana mereka khuatir hidupnya akan jadi tidak stabil apabila persoalan baru timbul dan mereka tidak punya jawapan terhadap persoalan itu. Manusia kreatif berani mengambil risiko dan bersedia berubah dalam keadaan dan dengan apa cara sekali pun.
Mengenai penambahan perspektif, Einstein pernah ditanya suatu soalan iaitu, apakah yang akan dia lakukan jika sebuah komet besar jatuh dan menghancurkan bumi dalam masa satu jam. Einstein menjawab bahwa dia akan menggunakan 55 minit untuk mengira dengan teliti bagaimana cara merumuskan pertanyaan dan 5 minit lagi untuk menyelesaikannya. Di sini beliau berusaha secara bersungguh-sungguh untuk memahami masalah secara jelas terlebih dahulu sebelum mengemukakan sesuatu penyelesaian.
Sebagai panduan, beberapa cara yang berbeza-beza untuk menstruktur kembali masalah yang kita hadapi:

1. Jadikan masalah tersebut bersifat lebih global dan spesifik.
2. Pisahkan bahagian-bahagian dari keseluruhan. Maknanya kita pastikan apakah komponen masalah tersebut.
3. Ubah kata-kata pernyataan masalah dalam beberapa cara.
4. Buatlah pernyataan-pernyataan tindakan yang positif.
5. Tukarkan perspektif-perspektif menjadi beberapa perspektif baru.
6. Gunakan banyak perspektif atau sudut pandangan yang berlainan
7. Gunakan banyak pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah yang kita hadapi.

Mari kita amalkan cara-cara ini agar banyak daripada masalah yang kita hadapi dapat kita selesaikan dengan baik.

Manusia Genius Boleh Dibentuk

Sejak dulu aku ingin mendalami persoalan-persoalan yang berkaitan dengan genius (bijak bistari), kreatif, pemikiran inovatif dan yang sealiran dengannya. Pemikiran-pemikiran yang menjurus ke situ sekurang-kurangnya dapat membantu mempertajamkan fikiran anak bangsaku Melayu yang kedudukan mereka jauh terkebelakang dalam berbagai aspek kehidupan baik kehidupan dunia dan juga kehidupan akhirat.

Amalan-amalan orang genius sekurang-kurangnya dapat membantu menjadikan amalan kaumku agar lebih maju dalam pemikiran mereka.

Orang genius berfikir secara produktif , bukan reproduktif. Pemikir produktif ialah mereka yang berfikir melalui banyak cara yang berbeza, mereka mengemukakan berbagai alternatif penyelesaian terhadap sesuatu masalah, berbanding dengan pemikir reproduktif yang hanya menggunakan kejayaan masa lalu bagi menghadapi masa depan. Pemikir reproduktif tidak berani mengemukakan cara baru dalam pemikiran mereka takut kepada kegagalan. Pemikir produktif tidak pernah memikirkan kegagalan kerana mereka melihat sesuatu masalah daripada berbagai sudut yang berbeza.

Huraian ini akan meneliti cara berfikir manusia genius melalui teknik-teknik berfikir mereka yang berbagai dengan perspektif yang berbeza. Kita akan cuba belajar cara melihat dengan cara yang tidak pernah dilihat oleh orang lain dan kita akan cuba berfikir dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain.

Melihat yang tidak dilihat orang lain

Orang genius menyatakan masalah mereka melalui banyak cara yang berbeza, termasuk menyatakan masalah dalam bentuk gambarajah. Mereka bijak sekali menstruktur ulang masalah yang sedang mereka fikirkan dalam berbagai perspektif. Pada pendapat mereka menterjemahkan masalah melalui pengalaman masa lalu akan menyesatkan pemikir. Ini disebut sebagai tahu bagaimana cara melihat masalah.

Tahap kedua, menjadikan fikiran Nampak jelas. Salah satu kesulitan yang dihadapi oleh orang ialah fikiran mereka tidak diketahui orang kerana kurang jelas. Para genius selalu menyatakan buah fikiran mereka dalam bentuk gambarajah, peta, dan foto selain daripada huraian tentang masalah tersebut. Melalui cara menyatakan masalah dalam cara yang berbagai akan membuat sesuatu masalah itu sangat jelas.

Memikirkan yang tidak pernah difikirkan orang lain.

Ada tujuh (7) strategi bagi memikirkan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain iaitu (1) berfikir lancar, (2) membuat kombinasi asli, (3) menghubungkan yang terlepas, (4) melihat dari sudut pandang lain, (5) melihat ke dunia lain, (6) menemukan apa yang tidak kita cari, (7) membangkitkan semangat kerjasama.

Dalam berfikir lancar, orang genius tidak membataskan pemikiran mereka dengan masa dan ruang. Mereka berfikir secara terus menerus seperti pelari maraton yang terus berlari sehingga ke garis penamat. Mereka bertanya berbagai soalan dan menjawab dengan berbagai cara, mereka mencari dan terus mencari. Produktiviti mereka tidak terbatas. Mereka akan membiarkan hukum alam melakukan pilihan, cara yang manakah yang akan bertahan. Hanya cara-cara atau produk yang bertahan terhadap berbagai-bagai ujian akan berjaya. Kaedah ini samalah dengan penghasilan sperma lelaki yang berjuta jumlahnya berjuang untuk mendapatkan satu ovum (benih) wanita yang akhirnya terjadi pensenyawaan bagi melahirkan seorang bayi.

Setelah mereka berfikir secara produktif dan menghasilkan ribuan buah fikiran, tahap berikut ialah membuat kombinasi (gabungan) asli antara idea-idea tersebut. Dean Keith Simonton (1988), “Scientific Genius”, Universiti California, Davies, menyatakan bahwa orang-orang genius membentuk lebih banyak kombinasi asli dan mereka bukan semata-mata berbakat. Albert Einstein pernah menyatakan bahwa cara berfikirnya sebagai permainan kombinasi berbagai idea.

Ramai manusia yang mempunyai idea yang berbagai, namun idea-idea ini kadang kala tidak berhubungan antara satu sama lain. Gaya berfikir dengan menghubungkan idea-idea yang terpisah ini digunakan oleh genius untuk menghasilkan ciptaan mereka. Genius akan terus berfikir untuk mencari titik perhubungan antara satu fakta dengan fakta yang lain dan apabila mereka berjaya menghasilkan hubungan tersebut maka akan terciptalah suatu penemuan baru. Leonardo Da Vinci membuat hubungan antara bunyi sebuah loceng dengan sebuah batu yang mencecah permukaan air. E.A. Kekule(1865), mengaitkan molekul benzene yang menyerupai cincin dengan ular berekor tajam. Itu antara beberapa contoh dari ribuan contoh manusia genius menemui produk kreatif mereka.

Melalui suatu perspektif saja mungkin suatu penemuan tidak dapat dijanakan. Orang genius biasanya akan melihat sesuatu dari sisi atau sudut yang berlainan. Kadang-kadang bukan saja dari sudut yang semata-mata positif, tetapi juga dari sudut yang negatif atau berlawanan.

Kadang-kadang setelah berhari-hari orang genius mencari sesuatu dan tiada apa yang ditemui, maka mereka akan beralih kepada mencari perkara yang tidak dicari, atau ringkasnya buat perkara lain. Ada kemungkinan dalam proses penyelidikan atau pencarian mereka akan bertemu dengan sesuatu yang menarik, tetapi perkara ini bukan yang dicari. B. F. Skinner menyarankan agar apabila kita menemukan sesuatu yang menarik, maka tinggalkan yang lain dan pelajarilah hal yang menarik itu. Mungkin ini merupakan suatu rahmat yang terselindung yang hanya dating sekali sahaja. Orang genius tidak menunggu kesempatan itu datang, tetapi mereka terus mencari kesempatan-kesempatan baru yang mungkin bersifat kebetulan.

Terkini kita mengukur kekuatan sesuatu institusi dengan jumlah kumulatif pengetahuan pakar-pakar mereka. Jika A mempunyai 30 tahun kepakaran, dan B mempunyai 20 tahun kepakaran dan C mempunyai 25 tahun kepakaran. Secara kolektif institusi itu mempunyai 75 tahun kepakaran. Jadi semangat kolaboratif merupakan idaman para genius kerana mereka dapat menghasilkan penemuan baru melalui kerjasama antara pakar yang setaraf.

Itulah sekelumit nukilan saya dari sebuah buku 308 halaman. Melalui kata-kata dan ayat-ayat yang telah diubahsuai dengan lengok bahasa biasa saya cuba memaparkan bahwa kita boleh menjadi genius dengan usaha gigih. Terbentuknya genius bukan semata-mata bermula dari bakat, tetapi kerja keras dan bantuan pihak yang berminat akan menjadikan Negara kita maju apabila ramai rakyatnya menjadi genius.

Monday 11 July 2011

Membangun Pemikiran Positif secara Islam

Nukilan berikut saya ambil dari karya Adil Fathi Abdullah, “Isyriin Nasiihah lit-Takhllush min al-Qalaq” terbitan Daar adz-Dzahabiyyah, diterjemahkan oleh Faishal Hakim Halimy, dan diterbitkan oleh Gema Insani Press, Jakarta, 2004.

Huraian ini dibuat secara bebas dan dengan penambahan yang sesuai dengan keadaan kontemporari bagi memudahkan kefahaman pembaca yang tidak mempunyai banyak waktu untuk meneliti buku asal, namun sorotan pendek ini merupakan sebagai pembuka kata dan mencetus minat pembaca.

Kami sangat berminat untuk mengupas tentang pemikiran kerana segala tindak tanduk manusia berpunca dari minda. Terjadi kerjasama yang erat antara minda dan hati dalam menetapkan garis tindakan. Niat bermula dari hati dan mendapat pertimbangan dari minda dan terjadi dialog antara keduanya sebelum sesuatu tindakan itu dilakukan. Hadis Nabi Muhammad S.A.W yang sangat terkenal ialah, “Sesungguhnya segala amal itu bermula dari niat” (maksud hadis). Niat yang baik diberikan satu ganjaran dan apabila niat yang baik itu diterjemahkan menjadi perbuatan yang baik diberikan satu pahala lagi.

Menurut Adil Fathi Abdullah, terdapat dua puluh (20) cara membangun pemikiran positif berpandukan Islam iaitu:

1. Meluruskan fikiran
2. Tinggalkan Kesempurnaan (“Perfectionism”)
3. Hilangkan rasa cemburu
4. Jadilah pribadi berbeza
5. Hilangkan penyakit hati
6. Cintailah orang lain
7. Jangan sedih dengan masa lalu
8. Jadilah orang kaya
9. Jangan berfikiran jumud
10. Hilangkan perasaan takut gagal
11. Redha dengan takdir Illahi.
12. Berbudi kepada orang lain
13. Ikhlaskan hati.
14. Jangan bergaul dengan orang yang cemas
15. Dalam setiap kesulitan ada kemudahan
16. Lihatlah orang di bawah kita.
17. Fikirkan ciptaan Allah kesedihan akan hilang
18. Solat adalah obat segala penyakit
19. Istigfar menghilangkan kesusahan
20. Berdoa dengan nama-nama Allah (Ismul A’zham)

Semoga dengan sentuhan pendek ini akan menjadikan kita manusia-manusia yang selalu berfikiran positif dan turut mempositifkan orang di sekeliling kita.