Friday 2 September 2011

Antara berfikir dan berzikir

Ada sekitar 2,600 perkataan dalam Bahasa Arab diadaptasikan ke Bahasa Melayu, dua daripadanya ialah perkataan fikir (fikr) dan zikir (zikr). Pada mulanya saya ingin menamakan tajuk tulisan ini hanya, “antara fikir dan zikir” tetapi merubahnya kepada, “antara berfikir dan berzikir”, ini disebabkan terlalu luas makna fikir sehingga mencapai duapuluh (20) takrifan. Jika berfikir, ianya membawa makna dan terfokus kepada proses menggunakan akal untuk menghasilkan suatu keputusan mengenai sesuatu yang difikirkan.

Istilah berzikir pula akan menjurus kepada proses mengingati Allah melalui lidah (sebutan), ingatan (akal) dan rasa (hati) sehingga ingatan kita tidak pada yang lain, hanya kepada Allah semata-mata.

Apabila kita dihadapkan dengan sesuatu persoalan atau masalah, pertama sekali fikiran kita akan membuat pencarian dalam pengkalan data ingatan apakah pernah saya mengalami perkara tersebut sebelum ini, juga apakah ada pengalaman orang lain yang hampir serupa. Berlaku proses analisis dan sintesis dalam akal kita dengan begitu cepat sekali untuk merasionalisasikan persoalan yang dihadapi. Berfikir melibatkan alat utama yang kita namakan akal (aql).

Berzikir pula merupakan proses yang sangat berbeza yang melibatkan tiga (indera) utama iaitu lidah, ingatan, dan rasa. Ketiga-tiga indera ini berintegrasi secara serentak dan akan menghasilkan suatu suasana bahagia dan puas. Lidah menyebut bahan yang dizikirkan, ingatan akan membenarkan apa yang dizikirkan itu dan rasa akan menajamkan penerima hati terhadap hakikat yang sedang dizikirkan.

Akibat proses berfikir akan meningkatkan aspek kognitif, sementara proses berzikir akan menambah rasa kecintaan kepada Allah. Dua-duanya mesti seiring untuk menjadikan manusia yang kamil (sempurna).

Rene Descartes seorang ahli falsafah Perancis yang mempelopori Falsafah Rasionalisma dan juga penemu sistem koordinat dalam matematik, pernah berkata, “Aku berfikir, maka aku ujud (Cognito ergo sum)”. Berfikir ialah suatu proses mencerna dan memahami keadaan yang ada di persekitaran dalam rangka menjawab suatu persoalan yang muncul dalam diri seseorang.

Dalam Islam kemahiran berfikir sangat dihargai, malah sangat dianjurkan oleh Allah agar seorang hamba dapat mengoptimalkan daya berfikir dalam mencerna seluruh objek di alam untuk mengetahui dan memahami pencipta itu sendiri. Apabila kita membaca Al-Quran akan ditemukan sangat banyak ayat atau frasa yang memerintahkan dan menuntun supaya berfikir. Di antara frasa yang selalui ditemui dalam Al-Quran ialah “afala tatafakkarun”, “afala tafaqqahun”, “afala yatadabbarun”, “Afala tasy’urun” dan sebagainya. Walaupun banyak versi digunakan oleh Al-Quran namun pada dasarnya mengajak kita supaya berfikir, memahami, merenung, dan menganalisa. Oleh sebab itu, kegiatan berfikir menjadi suatu hal yang cukup penting dalam Islam.

Sejarah tamadun Islam telah menunjukkan bahawa berkembangnya Islam bergantung erat dengan kegiatan berfikir para mujtahid dalam berbagai bidang keilmuan Islam. Para imam mujtahid dalam hukum Islam misalnya, dalam merumuskan hukum Islam dalam bentuk yang khusus dan rinci dalam berbagai masalah yang tidak ditemukan jawabannnya baik dalam Al-Quran, sunnah rasul maupun perilaku para sahabat sehingga mereka mesti berfikir secara mendalam untuk mencari jawapan dengan menggunakan segala kemampuan yang mereka miliki.

Walaupun demikian, dalam Islam seorang mukmin tidak hanya dituntut dalam mengenal tuhan, alam dan termasuk dirinya sendiri hanya melalui dengan berfikir. Ada satu lagi cara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada pencipta seluruh alam semesta dengan melalui proses berzikir.

Dalam pengertian sempit berzikir bermakna suatu kegiatan mengucapkan nama-nama Allah yang agung dan mulia dengan lidah dalam rangka memuji dan membesarkanNya. Pada amnya masyarakat umum masing memahami berzikir dalam bentuk di atas, namun dalam pengertian yang lebih luas lagi berzikir adalah seluruh kegiatan dan gerakerja memahami kekuasaan Allah yang bertujuan untuk lebih dekat kepadaNya.

Oleh sebab itu, perintah berzikir tidak hanya pada ketika melakukan solat atau sesudahnya di mesjid, madrasah dan sebagainya, tetapi dalam seluruh keadaan dan tempat kita selalu dituntut untuk tetap berzikir. Sebagaimana yang difirmankan Allah dalam Surah Ali-Imran: 191, ”(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa mereka.”

Ayat di atas dengan jelas menggambarkan bahwa kegiatan berfikir tidak dibatasi oleh keadaan dan suasana apa pun tetapi mesti dilakukan secara berterusan. Tetapi perlu diingat bahwa Islam tidak memisahkan proses berzikir dan berfikir. Apabila diteliti lebih mendalam antara berfikir dan berzikir dalam kehidupan sehari-hari, maka kita akan dapat membezakan keduanya sebagai dua kegiatan yang menghasilkan kesan yang berbeza.

Berfikir akan mencuba dan menemukan apa yang belum diketahui untuk selanjutnya merumuskannya. Hasilnya pun tidak hanya sebatas untuk kepentingan pribadi tetapi dapat bermanfaat kepada ummat manusia. Ibn sina, Ibn Rusd, Ibn Batutah, dan lain-lainnya menghasilkan bermacam karya yang sampai sekarang dapat dimanfaatkan oleh seluruh ummat manusia.

Sedangkan berzikir memberi kesan yang lebih dominan dan besar hanya kepada individu yang melakukannya sendiri. Kesan yang sangat ketara ialah bertambah baik tingkahlaku, meningkat baik akhlaknya, dan akan lebih dekat kepada Allah SWT. Namun keduanya, tetap menyatu pada diri seseorang sekalipun saling punya kekuatan yang positif bagi seorang muslim.

Oleh sebab itu, kedua potensi di atas mesti dapat disinergikan. Corak berfikir yang terlepas dari ikatan berzikir akan dapat menghasilkan corak-corak berfikir yang sifatnya destruktif dan negatif sehingga melanggar larangan Allah. Pemakan rasuah, pelaku maksiat dan yang sama dengannya sedia mengetahui yang mereka melakukan kesalahan melalui proses berfikir mereka, tetapi oleh kerana mereka tidak berzikir kepada Allah, mereka tetap juga melakukan perkara terkutuk itu.

Sebaliknya, berzikir tanpa mengasah kemahiran berfikir bagi menemui keagungan Allah dan sebagainya bukan merupakan suatu hal yang terpuji pula. Mengintergrasikan berfikir dan berzikir adalah jalan terbaik bagi mendapatkan kesan yang maksmima, kedua-duanya hendaklah dilakukan secara bersama-sama.

Pada hakikatnya seruan dan perintah berfikir dan berzikir dalam Al-Quran hampir sama banyaknya, ini menunjukkan betapa penting dan mustahak kedua-dua perkara tersebut. Karena perpaduan daya berfikir dan berzikir yang kuat dalam diri seseorang akan menghasilkan kesan yang luar biasa dalam kehidupan.

Jika kita boleh melahirkan pemimpin yang menyepadukan berfikir dan berzikir maka akan menjelmalah keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat, kalau sifat berfikir dan berzikir ada pada orang kaya maka dia akan rajin berinfak dan menjadi dermawan yang sangat berkesan bagi mengatasi masalah masyarakat umum.

Di manakah pertemuan kedua-dua sifat itu berlaku? Kedua-duanya akan berpadu pada ayat 191, Surah Ali-Imran yang menjelaskan bahwa “orang-orang berakal (ulul albab)” adalah mereka yang selalu berzikir dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring. Dengan kata lain, orang yang setiap saatnya berzikir kepada Allah sehingga sampai pada kesimpulan bahwa tidak satupun yang sia-sia diciptakan Allah di permukaan bumi. Hal ini merupakan kesimpulan dari mereka yang berfikir yang sangat mendalam dan luas, yang pada akhirnya akal mengakui kebesaran dan keagungan Allah tanpa ada yang sia-sia di alam ini.

Dengan kata lain, berfikir dan berzikir dalam Al-Quran dimaksudkan tidak lain adalah sebagai suatu cara yang dapat menyampaikan seseorang hamba kepada tauhid yang kuat dan kukuh dengan adanya pengakuan secara sedar dan mendalam dari apa yang berlaku di alam ini terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Berfikir dan berzikir adalah dua potensi yang sangat besar yang hanya dimiliki oleh seorang muslim yang serius dan sedar kewujudannya di alam ini. Akhirnya kita akan tunduk sepenuhnya dan menjadi hamba yang taat kepada Allah Maha Pencipta sekalian ala mini.

Semoga Allah anugerahkan kita daya untuk berfikir dan berzikir supaya bumi Allah ini boleh kita makmurkan bersama.

Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 3 September 2011

No comments:

Post a Comment