Thursday 1 September 2011

Psikosibernetik suatu bidang baru

Buku “Psycho-Cybernetics” karangan Maxwell Maltz, seorang pakar bedah plastik ini telah saya beli sebelum bersara dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sekitar tahun 2002. Ketika berpindah ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buku ini tenggelam dalam banjir semasa banjir besar di Perlis akhir tahun 2005. Kami dilarang memasuki kawasan banjir termasuk kawasan rumah sewa saya di Taman Desa Pulai ketika baru pulang dari Langkawi menghadiri persidangan Matematik Kejuruteraan di sana.

Saya terus memandu ke Kuala Lumpur dan pulang ke Bangi, seminggu lepas itu baru saya mendapati buku ini bersama-sama dengan barangan yang lain “mandi” semasa banjir itu. Betapa sedihnya melihat barangan yang baru saya angkut dari Bangi terendam air banjir kerana belum sempat mengemas kerana terpaksa ke Langkawi menghadiri pertemuan ilmiah di sana.

Buku-buku dan barangan yang basah saya jemur dan Al-hamdulilah buku-buku yang menjadi teman penghibur saya dapat diselamatkan walaupun terdapat kesan-kesan banjir padanya.

Saya terjemahkan “Psycho-Cybernetics” sebagai “Psikosibernetik” tanpa tanda sengkang, sama seperti psikologi, psikometrik dan lain-lain perkataan bidang psikologi. Saya tidak tahu kenapa saya sangat berminat dengan bidang psikologi, malah banyak buku psikologi saya beli atas dasar minat itu walaupun belum tahu bilakah buku-buku itu akan digarap secara serius.

Mungkin juga minat saya timbul kerana psikologi ada kaitan dengan manusia dan kemanusiaan. Bagaimana menghadapi manusia lain dalam situasi dan kondisi yang berbeza. Ia juga membincangkan peranan akal dan tatacara ianya berinteraksi dengan persekitaran yang kompleks.

Terdapat sistem yang telah sempurna dicipta Allah dalam diri setiap manusia seperti sistem imunisasi badan, sistem syaraf, sistem nilai yang bersifat abstrak, dan berbagai-bagai sistem yang lain. Setiap system secara kasarnya mempunyai tiga komponen penting, iaitu input, proses dan output.

Dalam beberapa system yang tertutup, mungkin saja output bagi satu system akan menjadi input kepada system yang lain. Sungguh sempurna system ciptaan Allah, tiada manusia yang dapat meniru ciptaan Allah. Walaupun ada cubaan membuat system inteligensia artifisial (Artificial Intelligent System), namun ianya jauh dari kesempurnaan ciptaan Allah.

Kita digalakkan mengkaji system ciptaan Allah kerana melalui kajian tersebut kita dapat mengenal diri sendiri dan siapa yang kenal diri sendiri akan kenal dengan penciptanya iaitu Allah. Pepatah Arab ada mengatakan, “Man arofa nafsahu, faqod arofa Robbahu” (siapa yang mengenali dirinya, maka dia akan mengenali Tuhannya).

Doktor Maxwell Maltz yang selalu menukar wajah seseorang melalui pembedahan plastic mendapati bahwa ada manusia yang dia ubah mukanya akan mengalami perubahan personality, juga ada yang sama sekali tidak berubah personalitinya walaupun berubah wajahnya. Doktor pakar itu sungguh hairan. Akhirnya beliau mendapati bahwa yang perlu diubah terlebih dahulu ialah imej kendiri (self-image) sebelum membuat perubahan kepada wajah. Bagi beliau imej kendiri ialah konsep mental dan spiritual seseorang terhadap dirinya sendiri.

Maxwell terus mencari data tentang “self-image” sehingga ke Jerman kerana ketika itu doctor di Jerman lebih maju dalam bidang ini. Beliau mengkaji apa yang terjadi sebenarnya dalam system syaraf diri manusia apabila imej kendiri manusia itu berubah. Beliau mendapat jawapan dalam sains yang baru iaitu “Psycho-Cybernetics”.

Anehnya kata beliau bidang baru ini lahir daripada kajian ahli Fizik dan Matematik, bukan dari ahli psikologi. Psikosibernetik ialah suatu bidang yang berkaitan dengan teknologi, dayausaha mencapai matlamat (goal-striving), kelakuan bermotifkan matlamat (goal-oriented behavior) pada system mekanikal manusia. Psikosibernetik menerangkan apa yang berlaku dan apa yang diperlukan bagi mendapatkan tingkahlaku baik yang diinginkan.

Dalam buku ini Dr Maxwell menggariskan panduan bagi mencapai imej kendiri dalam mencapai matlamat kendiri manusia. Maxwell mengatakan bahwa Imej kendiri (self-image) merupakan kunci utama kepada perubahan personality dan perlakuan manusia. Satu contoh yang sangat menarik tentang cinta. Beliau mengatakan cinta yang diajar dengan cinta yang dialami sungguh berbeza. Keluarga yang hidup dalam suasana cinta yang sejati akan melahirkan anak-anak yang suka kepada kedamaian cinta berbeza dengan cinta yang hanya disyarahkan tetapi pelakunya tidak mengamalkan konsep cinta yang sebenarnya. Pengalaman sungguh berbeza dengan pengajaran, tetapi pengajaran melalui pengalaman sangat bermanfaat untuk merubah tingkahlaku manusia.

Menurut Dr Maxwell pengalaman boleh dicipta walaupun ianya belum terjadi. Caranya ialah dengan mencipta pengalaman itu dalam makmal pemikiran manusia. Katanya system syaraf manusia tidak dapat membezakan antara pengalaman sebenar dengan pengalaman yang dicipta (created and controlled experience). Sekarang ada berbagai simulator seperti “Flight Simulator”, “Micro-Teaching” dan lain-lain yang dapat memberikan pengalaman sintetik (synthetic) atau pengalaman rekaan bagi meningkatkan kemahiran atau merubah kelakuan manusia dari yang tidak baik kepada yang baik.

Kaedah ini digunakan dalam meningkatkan pengucapan umum, meredakan ketakutan pelajar perubatan, menghapuskan malu dalam bersosial, membangun keyakinan diri, menjual lebih banyak produk, menjadi lebih mahir dalam permainan catur dan sebagainya. Semua perlakuan yang diinginkan boleh diprogramkan dan dijalankan melalui pengalaman yang dicipta melalui kaedah bidang baru yang dinamakan Psikosibernetik.

Beliau mengatakan jika sesuatu itu diamalkan selama 21 hari, perlakuan yang demikian akan menjadi suatu kebenaran. Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 September 2011.

No comments:

Post a Comment