Friday 10 August 2012

Hidup Relaks dan Kreatif Walau Pun Berhutang

Pada mulanya tajuk seminar ini dinamakan “Hidup Tanpa Hutang”, namun pada zaman moden ini hidup tanpa hutang hampir mustahil terjadi jika kita memerlukan kenderaan dan rumah sendiri. Senario akan berbeza dan kita akan berupaya untuk hidup tanpa hutang jika kita berani untuk hidup dengan hanya menggunakan kereta dan rumah sewa, itu pun jika kereta dan rumah sewa ditambah dengan keperluan lain tidak melebihi gaji yang kita perolehi setiap bulan.

Penseminar tajuk di atas iaitu En. Mohammad Noorizzuddin Nooh dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia telah menukar tajuk perbincangan kepada “Hidup Relaks Walau Pun Berhutang”. Ini mengambilkira bahwa hampir sangat jarang orang sekarang tidak berhutang atau paling tidak berhutang menggunakan kad kredit. Zaman dulu mungkin menggunakan buku “555” untuk berhutang membeli sayur atau barangan keperluan harian di kedai-kedai yang berhampiran dengan rumah kediaman. Penggunaan buku “555” sekarang sudah diganti dengan penggunaan kad kredit atau di setengah tempat buku tersebut masih digunakan.

Ceramah beliau lebih kepada bagaimana untuk keluar daripada perangkap hutang apabila hutang sudah mulai membelit diri. Perkongsian pengalaman beliau cukup menarik untuk kita kongsi bersama. Hal ini menjadi relevan kerana makin tinggi hutang seseorang maka makin tinggi pula stress yang dialami. Pada prinsipnya hutang mesti segera diselesaikan walau pun sesetengah institusi kewangan atau perniagaan tidak begitu gemar kalau pelanggannya ingin membuat pembelian tunai kerana tiada tambahan caj yang boleh dikenakan kepada pelanggan tunai. Mereka lebih suka melayan pelanggan yang suka berhutang.

Pada pendapat saya sikap suka berhutang ini ada kaitan dengan gaya dan pegangan hidup seseorang. Orang yang suka hidup mewah dan berbelanja melebihi pendapatan akan segera terperangkap dengan hutang. Juga bagi mereka yang berpegangan hidup “biar papa asal bergaya” juga akan terbelit hutang. Satu lagi kategori manusia yang akan terjebak hutang ialah mereka yang tidak ambil kisah tentang harga, tidak membandingkan harga di beberapa tempat dan mencari yang termurah dan mampu bayar.

Pada dasarnya hutang akan banyak bergantung kepada prinsip hidup seseorang. Jika kita berprinsip tidak mahu berhutang, maka kita akan mencari segala cara untuk tidak berhutang. Misalnya mengumpulkan wang dulu sehingga cukup untuk membeli sesuatu atau menggunakan kerjasama antara beberapa kawan yang inginkan barangan yang sama melalui cara permainan kutu. Tapi kita mesti ingat bahwa permainan kutu tidak diizinkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kalau kegiatan itu dapat dikesan oleh BNM. Dalam hal rumah dan kereta mungkin agak sukar dan lama untuk mengumpulkan wang sehingga dapat membeli kedua-dua keperluan tersebut. Namun, apa pun keadaannya kita mestilah kreatif untuk menyelesaikan masalah tempat tinggal dan kenderaan.

Antara penyebab berlakunya hutang berat ialah kegiatan perjudian, terlibat dengan penyalahgunaan dadah, suka berjoli, suka berlagak dan tidak mahu didahului oleh rakan mahu pun jiran, suka berbelanja di luar kemampuan, dan prinsip “biar papa asal bergaya”. Mengenai tanda-tanda orang berhutang ialah membayar caj minima kad kredit, tidak mempunyai simpanan, berbelanja menggunakan kad kredit sehingga melebihi had yang dibenarkan, mempunyai banyak kad kredit berbanding tunai dalam dompet, mempunyai bil-bil tertunggak yang masih belum dibayar, gagal mendapat pinjaman bank, selalu mematikan telefon bimbit atau tidak menggunakan telefon bimbit langsung, hari ini terima gaji esok sudah kehabisan wang, malas bekerja, mengalami gangguan dan tekanan hidup, pemarah dan panas baran, dan jarang keluar rumah kerana mengelakkan along atau teman-teman lain.

Bagaimanakah cara untuk segera bebas dari hutang? Pertama berhenti membeli secara berhutang (beli tunai), tampalkan segala hutang yang anda ada dalam bilik supaya mudah dilihat setiap hari, struktur semula hutang anda, jangan pinjam untuk membayar hutang atau istilah biasa ialah gali lubang untuk tutup lubang, dan dapatkan bantuan bagi menyelesaikan hutang.

Dalam membeli rumah adalah dicadangkan agar kita hanya membeli rumah seharga dua setengah kali ganda dari gaji tahunan kita. Misalnya sebulan gaji kita RM3,000.00 maka harga rumah yang boleh dibeli ialah RM90,000.00 sahaja berdasarkan formula di atas. Jumlah hutang bulanan pula tidak boleh melebihi 36% daripada pendapatan kasar bulanan. Jadi dalam kes mereka yang bergaji RM3K, jumlah hutang yang dibenarkan ialah RM1,080.00 sahaja.

Gunakan kad kredit secara bijak. Jangan sekali-kali menggunakan kad kredit tanpa mengira pendapatan dan keupayaan membayar balik. Paling baik ialah membayar semua baki supaya tiada caj tambahan dikenakan kepada kita atau kalau tidak jangan membayar caj minimum tetapi bayar lebih daripada caj minimum agar cepat selesai membayar kad kredit.

Ada tujuh strategi bagi membebaskan diri dari hutang dalam masa 4 tahun atau kurang, semua strategi-strategi ini hanyalah cadangan, mungkin anda mempunyai strategi yang lebih baik.

  1. Strategi 1 : Jangan buat hutang lagi.
  2. Strategi 2 : Langsaikan hutang yang kadar interestnya paling tinggi.
  3. Strategi 3 : Buka dana khas yang dinamakan “Dana Full-Settlement” dan simpan wang secara berkala dalam dana ini untuk segera menyelesaikan hutang.
  4. Strategi 4 : Guna duit bonus untuk langsaikan hutang, jangan belanjakan untuk yang lain.
  5. Strategi 5 : Simpan duit kenaikan tahunan 100% ke dalam Dana Full-Settlement.
  6. Strategi 6 : Bila sudah habis hutang, simpan duit ansuran bulanan itu ke dalam “Dana Full-Settlement”.
  7. Strategi 7 : Bayar hutang secara otomatik secara “standing instruction” agar kita utamakan bagi menyelesaikan hutang.
Sebagai seorang Islam kita mesti ingat bahwa jika hutang tidak selesai segala amalan kita akan tergantung sehingga segala hutang diselesaikan sendiri atau oleh ahli waris sekiranya kita meninggal.

Itulah sedikit perkongsian yang dapat saya nyatakan. Memang berat membayar hutang walau pun sangat mudah mendapatkan hutang dari bank-bank atau orang persendirian yang mengenakan caj bayar balik yang tinggi. Berusahalah agar kita segera bebas hutang kerana orang yang tiada hutang ialah orang yang merdeka sepenuhya.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11 Ogos 2012.


1 comment: