Wednesday 8 August 2012

Tujuh teknik berfikir kreatif

Manusia kreatif boleh bergaul dengan siapa saja dan selalunya mereka bersikap positif. Seolah-olah tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semuanya berjalan baik dalam kehidupannya.

Apakah teknik untuk berfikir kreatif? Berikut kita bincang tujuh teknik berfikir kreatif sebagai panduan kita bersama.

1. Cabar anggapan (asumsi) kita

Setiap manusia mempunyai anggapan yang mereka bina sejak bertahun-tahun melalui pengalaman yang dikumpul. Anggapan itu boleh secara jelas atau terselindung. Kita sedar mengenai anggapan yang jelas (explicit) , tetapi kita selalu mengambil mudah anggapan yang terselindung (implicit).

Contohnya, setiap hari kita melalui sebuah jembatan dan kita beranggapan jembatan itu tak akan runtuh sebab tiap hari kita melaluinya dan tiada keruntuhan berlaku. Setiap hari ketika bangun pagi kita dapat bernafas, kita tidak pernah fikir pun bahwa satu hari kita bangun dan tak dapat bernafas kerana setiap hari kita bangun dan kita boleh bernafas. Itu dua contoh tanggapan yang jelas dan boleh kita lihat. Banyak lagi contoh-contoh lain yang kita benar-benar percaya melalui tanggapan harian kita.

Anggapan yang terselindung pula ialah suatu anggapan yang banyak kesamarannya dan memerlukan pertanyaan baru untuk menjelaskannya. Contohnya kita anggap semua buah jatuh ke bawah, tetapi kejatuhan buah apple membuat Newton berfikir kenapa buah appel jatuh ke bawah dan akhirnya beliau menemui Teori Grativiti yang sangat terkenal itu.

2. Bekerja terbalik

Teknik ini selalu muncul apabila kita kehilangan sesuatu misalnya kita kehilangan kunci kereta atau tersalah letak dan tidak dapat ditemui ketika diperlukan. Kita akan cuba ingat balik dari mula kita memasuki rumah sehinggalah kita ingat di mana kita letak kunci itu.

Saya sering menggunakan teknik ini untuk menyelesaikan masalah matematik kerana dalam buku matematik sudah ada jawapan di belakang buku, jadi kita mula dengan jawapan dan akan mendapatkan jalan kerja menyelesaikan matematik. Apabila menulis jawapan nanti kita tulis dari mula hingga akhir.

Istilah terkini teknik ini ialah “reengineering” iaitu kita kaji sesuatu produk atau sistem dengan memecahkan sesuatu itu kepada komponennya dan mengkaji setiap komponen secara berasingan, kemudian membuat pembaharuan terhadap komponen berkaitan dan apabila kita gabungkan semula kita akan memperolehi sesuatu yang baru.

Kemajuan negara Jepun, Korea dan Cina banyak bergantung kepada kaedah ini dalam menghasilkan produk tiruan tetapi menambah atau mengurangkan komponen pada produk asal. Ini juga kaedah inovasi yang sebahagiannya digunakan dalam Teknik TRIZ.

3. Perhatikan yang janggal

Dalam sesuatu pemerhatian, kita selalu memperhatikan sesuatu yang biasa saja tanpa memperhatikan perkara-perkara yang luar biasa. Contohnya apabila kita memandang ke langit, kita akan membayangkan kapal terbang, burung, angin dan sebagainya yang boleh terbang. Tetapi jarang sekali kita membayangkan manusia terbang dan kereta terbang, kerana perkara ini di luar daripada set minda kita mengenai benda yang boleh terbang pada masa ini. Kereta terbang sedang dalam penyelidikan dan manusia terbang pun sedang dalam kajian dan belum sempurna lagi.

Pada masa kini sangat terkenal dengan konsep berfikir di luar kotak (thinking out of the box) yang dikemukakan oleh Edward De Bono. Jika kita amalkan teknik kita akan memperolehi banyak idea-idea baru mengenai sesuatu perkara.

4. Membuat ramalan

Dalam teknik membuat ramalan ini, kita boleh menggunakan model linear atau model non-linear. Contohnya jika pada tahun 2012 berat kita ialah 65 kilogram (kg) dan kita tahu setiap tahun berat kita naik 5 kg, maka dalam masa sepuluh tahun lagi berat kita akan menjadi 115 kg dengan syarat kenaikan berat tahunan ialah tetap 5 kg. Namun kenaikan berat badan kita bukan berbentuk linear kerana kadang-kadang kita insaf dan mengurangkan makan dan melebihi senaman jadi kenaikan berat badan menjadi berkurangan.

Teknik ini juga memberikan kita peluang untuk menyatakan suatu anggapan tertentu. Contohnya andaikan bumi ini rata bukan bulat, apa yang akan berlaku? Jadi fikiran kita akan tertumpu kepada ramalan itu dan idea-idea dijanakan bagi memikirkan perkara itu. Teknik ini selalu digunakan oleh guru-guru dalam memberikan tugasan essei kepada pelajar-pelajar mereka. Misalnya guru akan memberikan tajuk, “Andaikan Malaysia dibanjiri dengan ramai penduduk luar, apa yang akan terjadi dalam masa dua puluh (20) tahun yang akan datang kepada sosio-ekonomi Malaysia? Hurai dan bincangkan secara luas perkara ini”.

5. Penolakan dan penterbalikan

Teknik ini memberi peluang kepada kita untuk mengurangkan sesuatu daripada sesuatu produk atau sistem tetapi sistem itu masih boleh berfungsi dengan baik. Contohnya, pada masa dulu kita mempunyai kereta kuda yang digunakan untuk transportasi. Tetapi akhirnya kita membuang kuda dan menggantikan dengan engin maka lahirlah konsep kereta, lori dan sebagainya. Konsep ini ada dalam TRIZ yang kita namakan sebagai proses “trimming” iaitu dengan membuang satu atau lebih komponen dalam sesuatu sistem tanpa menjejaskan fungsi utama sistem itu. Misalnya dalam produk berus gigi. Pada berus gigi ada dua komponen iaitu pemegang dan berus. Kita boleh buang pemegang, jadi tinggal satu komponen saja iaitu berus. Berus boleh dilekatkan pada satu glove jari dan menggunakan jari yang dimasukkan dalam glove itu untuk memberus gigi.

Ramai yang masih ingat cerita tentang seekor gagak yang kehausan. Apabila gagak itu menemui air yang berada dalam botol tinggi dan paruhnya tidak boleh masuk ke dalam botol untuk menyedut air tersebut maka dia berfikir cara mendapatkan air tersebut. Akhirnya gagak menggunakan batu-batu kecil yang dimasukkan ke dalam botol tersebut sehingga paras air naik dan dia dapat memasukkan paruhnya untuk meminum air tersebut dan menghilangkan kehausannya.

Kaedah terbalik selalu juga digunakan dalam perniagaan. Misalnya kalau dulu restoran menghidangkan makanan untuk pengunjung, tetapi kini banyak restoran menggunakan kaedah layan diri dan sekaligus mengurangkan kos tenaga pekerja dan memperbanyakkan menu. Banyak restoran makanan segera menggunakan kaedah layan diri dan ternyata kaedah ini sangat popular.

Kalau dulu seorang guru menggunakan kaedah otokratik dalam membuat penilaian terhadap murid mereka tetapi kini anak murid pula menilai guru dalam pengajaran mereka. Zaman kian berubah dan kini kritik mengkritik berlaku dengan berleluasa baik secara langsung atau melalui media elektronik seperti fesbuk dan twitter. Sikap manusia pun perlu berubah sesuai dengan perubahan zaman.

Simpulan bahasa “mati katak” bukan bermakna katak yang mati dilanggar kereta, tetapi kini dikiaskan kepada manusia yang tidak berubah walau pun teknologi sekitarnya berubah. Mereka yang tiada fesbuk, akaun emel dan telefon bimbit pada masa kini akan “mati katak” apabila zaman terus berubah dengan teknologi baru, manakala mereka tidak ikut berubah. Lama kelamaan mereka ini tidak boleh bergerak ke mana-mana dan akan ketinggalan zaman. Akhirnya mereka akan disifatkan sebagai “mati katak”.

6. Lihat sesuatu yang menghairankan

Kadang-kadang kita melihat sesuatu dengan penuh kehairanan. Sampai sekarang pun saya sendiri masih melihat dengan kehairanan bagaimana sebuah kapal terbang yang begitu berat boleh terbang. Hairan melihat bagaimana sebuah kapal laut yang begitu besar seperti kapal titanic boleh terapung di laut dan berbagai-bagai lagi kehairanan.

Apabila kita hairan tentang sesuatu kita akan terus berfikir dan mencabar diri kita untuk membongkar rahsia tentang sesuatu perkara atau kejadian. Lihat saja kanak-kanak yang terpegun dengan permainan mereka, melekat pada layar komputer dalam masa yang lama dan begitu konsentrasi, semua itu kerana mereka sedang mencari jawapan kepada kehairanan mereka.

Inilah salah satu teknik bagaimana kita melahirkan pemikiran kreatif, terutama dalam kita mencari ilmu mengenai sesuatu yang menghairankan kita. Kita akan membuat semakan di buku dan di internet sehingga sesuatu persoalan itu terjawab dan kalau tak puas hati kita akan terus mencari dan mencari. Dalam akademik proses itu dinamakan penyelidikan.

7. Berada pada posisi orang lain.

Teknik ketujuh ini memerlukan kita untuk bertindak seolah-olah kita menjadi orang yang memerlukan sesuatu produk atau sistem. Kita akan cuba melihat daripada perspektif pengguna. Contohnya jika seseorang yang berkerusi roda, apakah keperluannya. Kita boleh membayangkan kita berada atas kerusi roda tersebut dan ingin mengambil sesuatu dan tiada siapa yang dapat membantu, jadi apakah produk atau sistem yang dapat membantu seseorang yang berada dalam keadaan demikian.

Pertukaran “role play” ini sangat penting dalam kita berfikir terutama bagi peniaga, pembuat barangan pengguna dan pencipta produk. Mereka akan dapat mencipta sesuatu produk atau sistem yang baik apabila mereka bertindak dengan mengandaikan diri mereka berada pada posisi orang yang memerlukan sesuatu produk atau sistem.

Melalui cara ini kita akan dapat menghasilkan barangan kreatif yang akhirnya akan dapat membantu pengguna memenuhi keperluan mereka dan membuat hidup ini lebih bermakna kepada orang lain.

Kesimpulan

Hidup ini memerlukan pemikiran kreatif untuk dapat bertahan lama, terutama dalam menghadapi cabaran hidup yang berubah-ubah. Hanya mereka yang berfikiran kreatif yang akan dapat menukar persekitaran hidup mereka menjadi sesuatu yang berguna. Mari kita amalkan pemikiran kreatif dalam hidup dengan menggunakan ketujuh-tujuh teknik yang disebut di atas.

Ismail Abdullah, USIM, 8 Ogos 2012.


No comments:

Post a Comment