Wednesday 8 August 2012

Pemikiran kreatif menurut pandangan Islam

Kebanyakan buku yang mengupas tentang kreativiti datang dari Barat dan berpandukan kajian-kajian Barat. Apakah ada konsep kreatif ini dalam Islam. Lama juga saya mencari-cari sumber dari Islam yang mengupas tentang pemikiran kreatif menurut pandangan Islam. Akhirnya teman saya Prof Norita Mohd Norwawi menghadiahkan sebuah buku bertajuk, “Creative Thinking : An Islamic Perspective”, karya Jamal Badin dan Mustafa Tajdin. Buku ini telah diterjemahkan ke Bahasa Indonesia oleh Sdr Munir A. Mu’in, Penerbit Mizan, Indonesia.

Buku setebal 227 halaman itu tak dapat diperturunkan semuanya, namun saya akan cuba memberikan isi-isi penting untuk renungan kita bersama. Mungkin dari masa ke semasa kita akan melihat konsep Islami dalam beberapa aspek kreativiti dan inovasi tertentu agar ianya akan menjadi panduan hidup kita bersama. Tulisan-tulisan kecil ini akan saya perturunkan dalam blog-blog saya dari masa ke semasa menurut kesesuaian masa.

Sambil itu kepada sesiapa yang berminat untuk melihat dari dekat produk-produk Islam yang dipamerkan dalam Pameran Inovasi Produk Islam Tahun 2012, yang ringkasnya disebut i-inova12, akan diadakan pada 20 dan 21 Oktober 2012, bertempat di Stadium Tertutup Nilai, anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pameran selama dua hari itu akan memperlihatkan produk-produk atau sistem-sistem yang bercirikan Islam sebagai sumbangan penyelidik kepada penambahan pasaran produk atau sistem Islam di pasaran terbuka. Tujuan pameran ialah untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya produk atau sistem Islam dimajukan demi kebaikan masyarakat Islam keseluruhannya.

Secara tepatnya konsep pemikiran kreatif dalam Islam berpaksikan kepada panduan Allah dalam Al-Quraan yang disampaikan secara indah dan segera mendorong manusia untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Banyak contoh-contoh diberikan dan dipaparkan agar manusia terus berfikir, merenung, melihat, menyaksikan dan membuat perbandingan. Allah SWT mengajak manusia dengan penuh kasih sayang dan kelembutan dalam memikirkan ciptaan Allah dan jangan memikirkan zat Allah kerana manusia tidak akan mampu memikirkan tentang zat Allah.

Betapa pun bersungguh-sungguhnya Nabi Musa ingin melihat dan berbicara dengan Allah, namun Allah memberikan pengajaran kepada Nabi Musa untuk melihat gunung dan apabila Allah memperlihatkan kekuasaanNya, maka gunung yang megah itu cair. Ini memberi pengajaran kepada kita bahwa zat Allah itu tidak menyerupai sesuatu apa pun yang pernah kita lihat, hanya di akhirat nanti kita akan bertemu dan menatap wajah Allah SWT bukan sekarang. Itu pun seandainya kita beriman teguh kepada Kitab Al-Quraan dan Hadith Rasulullah SAW dan mengamalkan Islam sepenuhnya serta bertaqwa.

Buku itu menggariskan konsep tafakkur sebagai langkah awal dalam pemikiran kreatif, diberikan enam syarat kaedah berfikir kreatif dalam Islam, penjelasan Al-Quraan mengenai berbagai gaya berfikir, konsep ijtihad sebagai kekreatifan Muslim, dan membuat sedikit integrasi antara kaedah pemikiran kreatif Islam dan Barat. Ini semua dipaparkan bagi membantu ummat Islam yang inginkan mendalami kaedah berfikir, berinovasi dan berkreatif menurut kehendak Islam semoga dalam masa yang tidak begitu lama kita dapat mengembalikan kegemilangan Islam zaman dahulu ketika lahirnya Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu Al-Haitham, Ibnu Khaldun dan sebagainya. Sejarah kegemilangan keilmuan dalam Islam dapat dibaca dalam banyak literatur kini.

Ilmu terbahagi kepada dua iaitu Ilmu Wahyu yang berada dalam Al-Quraan dan Hadith yang sahih yang sifatnya tepat dan tidak berubah (invarian), kedua ialah Ilmu Ciptaan Manusia berdasarkan fikiran dan akal manusia masing-masing. Sifat Ilmu Ciptaan Manusia ialah berubah (varian) berdasarkan tempat, masa dan suasana. Ilmu ciptaan manusia yang diterbitkan 10 tahun lalu berubah apabila data baru ditemui sekarang, maka sifatnya nisbi (relatif). Kita mesti berpandukan kepada Ilmu Wahyu untuk selamat di dunia dan akhirat.

Elok sekali kalau boleh kita kembali kepada Ilmu Wahyu bermula dari kanak-kanak agar hidup masyarkat kita berpegang kepada panduan yang tepat daripada Allah SWT bukan berdasarkan Ilmu Ciptaan Manusia. Budaya ilmu mesti dipupuk dari sejak kecil dan supaya kanak-kanak menerima ilmu yang benar daripada ayah dan ibu, maka wajib bagi ayah dan ibu belajar terlebih dahulu mengenai Ilmu Wahyu yang bersumberkan Al-Quraan dan Hadith Sahih.

Dalam tulisan-tulisan yang lain saya akan cuba mengupas secara lebih detail mengenai sesuatu kaedah pemikiran kreatif dan inovatif, sekaligus memberikan panduan agar kita dapat menanamkan keinginan untuk menjadi lebih pandai dari kemarin dan esok lebih pandai dari hari ini.

Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, USIM, 9 Ogos 2012.


4 comments:

  1. Assalamualaikum prof. Saya sgt teruja utk mencari bahan tentang creative thinking dari sudut pamdangan islam atau barat.
    Sham8877@gmail.com
    Ipg bm kl

    ReplyDelete
  2. Assalam. Saya nak tanya, kat mana yer saya boleh dapatkan buku Creative Thinking : An Islamic Perspective" karya Jamal Badin dan Mustafa Tajdin tuh? Sbb saya mencari2 buku tuh untuk menyiapkan tesis sy semester ni. Syukran :)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikom. Prof, saya fikir tentunya ramai lagi ilmuan ilmuan seperti prof yg mengungkap peradbn kretiviti dan inovatif dalam tamaddun Islam, yang sangat dipengaruhi oleh budaya ilmu sekitarnya. Saaya bekas graduan kreatif seni industri dan berkecimpong dalam dunia kraetif melampaui 40 tahun, terasa terpanggil supaya kita membentuk pemikiran bangsa yang menganuti Islam sebagai Addin, perlu di asuh menyambung usaha Innovator Islam yang terawal dan tertinggal sebagai bahan
    rujukan akademik.

    ReplyDelete
  4. Dalam kontek, kesenian penulisan-khat Islam. Seni khat yang indah ini dipelupuri oleh ahli khatat yang terkenal dirantau benua arab. Setelah menjangkaui 1400 tahun,seni ini tidak berkembang dari kelompok doktrin bahasa seni yang terkaku dan tidak banyak ilmuan Islam memulakan inisiatif menggarap satu idea yang maju , lebih daripada 7 jenis kahat yang popular.Sehingga ada pelukis moden cuba menerokai tulisan khat moden, terutamanya khat khufi(geometrik pattern) menjadi celaru dan mengabaikan huruf arab yang perlu dijagai. Kerana apabila pelukis ini menulis ayat AlQuraan dengan khat-khufi moden ,ianya mencelarukan bacaan ayat dan menolak adab penulisan ayat alquraan yang haram jika kita memperolokan tulisan ayat itu.

    ReplyDelete